Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Program Hi-Class (Hidayah Class) 2025M bagi Siri Kedua telah berlangsung bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Dakwah Islamiah, Kampung Pulaie kelmarin.
Program anjuran Belia Mualaf As-Syahadah di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia (PKB), Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) berkenaan adalah platform untuk meraih ilmu pengetahuan, meningkatkan kefahaman dan mengambil pengajaran daripada sejarah Islam untuk membentuk pemikiran Islam yang holistik sekali gus untuk diterapkan dan diamalkan ke dalam kehidupan seharian sebagai seorang Muslim.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan sesi perbincangan dan aktiviti-aktiviti bercirikan ‘kebeliaan’ agar pembelajaran lebih mudah dan menarik kepada belia mualaf.
Program kemudian diikuti dengan ceramah bertajuk Kisah Kita Dulu, Inspirasi Kita Kini yang menceritakan sejarah kedatangan dan perkembangan Islam di Negara Brunei Darussalam dan disampaikan oleh penceramah undangan, Yang Mulia Awang Isham bin Ismail, Pegawai Perkembangan Ugama, PDI.
Program berkenaan diakhiri dengan bacaan Tasbih Kafarrah dan Surah Al-‘Asr.

Semua di atas: Antara yang hadir ke majlis berkenaan.

Sesi bergambar ramai selepas program berkenaan.