LANGKAWI, 29 Mac – Program mini HIMPUN, anjuran Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC), yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) mensasarkan nilai jualan RM100,000.
HIMPUN adalah inisiatif MAHB dan DDEC untuk mengetengahkan beberapa jenama tempatan terbaik daripada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kategori fesyen, kraftangan, makanan dan juga beberapa produk kecantikan kepada dunia.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Awang Mohammad Nazli Abdul Aziz berkata setakat 28 Mac tahun ini, 11 usahawan PKS yang terpilih untuk bersama-sama menjayakan ‘HIMPUN Artisanal Market at Langkawi International Airport’ itu setakat ini meraih nilai jualan berjumlah RM80,000.
Beliau berkata HIMPUN yang telah diperkenalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum ini merupakan platform bagi memasarkan beberapa produk usahawan tempatan kepada pelanggan antarabangsa.
“Kami memilih beberapa produk yang sesuai serta menitikberatkan pembungkusan yang menarik perhatian dan cita rasa pelanggan antarabangsa untuk kami pasarkan dan promosi di lapangan terbang antarabangsa.
“MAHB berharap aktiviti dan produk yang ditawarkan dapat menyerlahkan ‘Sense of Malaysia’ (Sentuhan Malaysia) kepada tetamu dan pelancong di lapangan terbang di negara ini sejajar dengan usaha strategik MAHB untuk mentransformasikan lapangan terbang daripada hab pengangkutan kepada destinasi gaya hidup,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang berkunjung ke HIMPUN semalam.
Mohammad Nazli berkata usahawan yang terpilih turut berpeluang memasarkan pelbagai produk menerusi kedai khas di lapangan terbang.
MAHB juga berhasrat memperluas HIMPUN ke lapangan terbang di Sabah dan Sarawak, katanya.
Program ini turut mendapat perhatian Mohd Redzuan Yusof yang berharap kerjasama menerusi program HIMPUN akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan industri kecil dan sederhana untuk mempromosikan produk mereka di lapangan terbang antarabangsa. – Bernama