Oleh Nurdiyanah R.
Gambar oleh Bahyiah Bakir
Sungguh tidak dapat disangkal lagi, keupayaan dan peranan golongan belia amat penting dalam memastikan pembangunan negara sentiasa terjamin dan mampu direalisasikan.
Penglibatan para belia dalam pelbagai bidang di negara ini secara proaktif dan progresif sememangnya suatu perkembangan yang positif.
Golongan belia dianggap sebagai tiang harapan sesebuah bangsa dan negara, lebih-lebih lagi dalam sama-sama mencapai Wawasan Brunei 2035 dalam mentransformasikan Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang dikenali secara global.
Bagaikan butiran mutiara yang sentiasa berkilauan, golongan belia sememangnya mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi tempatan serta untuk menjana peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan.
Begitulah juga sebagai satu inisiatif utama Program i-Usahawan yang dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga sejak ia mula dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 1 Ogos 2018 bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan (HBK) ke-13.
Pameran i-Usahawan serlah kredibiliti belia
Program i-Usahawan telah menjadi salah satu fokus utama Majlis Sambutan HBK ke-16 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini, menerusi pameran i-Usahawan bertemakan Future Ready Youth.
Adapun pameran berkenaan telah meraikan penglibatan aktif usahawan belia yang bercita-cita untuk meneroka peluang perniagaan baharu dalam sektor tenaga dengan objektif utama untuk meningkatkan kemampuan perniagaan mereka. Ia juga sejajar dengan objektif strategik Kementerian Tenaga yang mendukung pembangunan sosio-ekonomi melalui spin-off sektor tenaga.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah Baginda semasa acara sambutan HBK ke-16, baru-baru ini, telah menekankan pentingnya program berkenaan dalam mengembangkan usahawan belia.
Baginda Sultan juga menekankan bahawa sejak dimulakan pada 1 Ogos 2018, program berkenaan telah menghasilkan 35 kontrak yang dikenal pasti, di mana 19 kontrak diberikan kepada 24 usahawan belia dengan nilai kontrak sekitar $29 Juta. Baginda juga meminta pengembangan Program i-Usahawan lebih meluas ke sektor bukan tenaga.
Pameran berkenaan telah melibatkan sebanyak lima vendor milik usahawan belia termasuk tiga pengusaha i-Usahawan iaitu Fath-Briz Sdn Bhd, Perkhidmatan Jezemm, Mohd HMS dan dua vendor yang baharu muncul termasuk Brudesh Management & Engineering dan Everything Solar Company. Kesemuanya tampil dengan mempamerkan aktiviti perniagaan dan perjalanan keusahawanan mereka dalam menyokong pengembangan aktiviti spin-off sektor tenaga.
Oleh yang demikian, dalam menyokong usaha kebangsaan untuk mengembangkan pemula dan usahawan yang dipimpin oleh belia sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi.
Program i-Usahawan menyediakan intervensi pasaran yang dipimpin oleh kerajaan di sektor tenaga melalui penyediaan kontrak perniagaan dan inisiatif pengembangan kapasiti.
Aktiviti-aktiviti latihan program berkenaan bertujuan untuk mempercepatkan potensi perniagaan usahawan belia dalam empat bidang utama pembangunan baharu iaitu Pembangunan Kapasiti Operasi (pemahaman yang lebih baik mengenai industri), Pembangunan Kapasiti Pengurusan (pengurusan perniagaan), Pembangunan Keupayaan Pengurusan Kewangan (pengurusan kewangan) dan Pembangunan Kapasiti Peribadi.
Membantu prestasi perniagaan menyeluruh
Pengarah Urusan dan Kewangan, Fath-Briz Sdn Bhd, Awang Mohammad Fadly bin Jais menjelaskan syarikat lebih memfokuskan kepada bidang tenaga seperti pembinaan; penyelenggaraan bangunan; pembekal, pemasangan dan operasi; mekanikal, elektrik dan instrumen; housekeeping; dan sebagainya.
“Dalam mengikuti program i-Usahawan ini sememangnya salah satu peluang keemasan yang amat disyukuri kerana menerusinya kami meningkatkan prestasi perniagaan kami dengan lebih teratur secara menyeluruh termasuklah pelbagai latihan dan pencambahan pengetahuan seperti aspek pengurusan dan akauntan bersama agensi-agensi terpilih yang berkepentingan.
“Adalah menjadi harapan kami juga untuk dapat sama-sama membantu anak-anak tempatan dalam meningkatkan kepakaran khususnya kemahiran dan teknologi tertentu tidak kira dari golongan yang memiliki daya keupayaan normal mahu pun mereka yang terdiri dari orang berkeperluan khas. Biarlah kita semua dapat memajukan diri dengan sentiasa bergerak proaktif dalam apa sahaja bidang yang diceburi,” ujarnya dengan nada ketulusan yang kini memiliki seramai enam orang pekerja tempatan di bawah syarikatnya.
Belia tanah air yakin boleh
Sementara itu, salah sebuah syarikat milik anak tempatan, Awang Aiman Sharif yang dikenali dengan S.B. Kani Company telah mengetengahkan penyediaan perkhidmatan pemotongan rumput, ditch cleaning dan perkhidmatan re-grading sejak dijalankan secara rasmi pada 1 Januari 2020.
Awang Aiman yang juga selaku pengurus besar di syarikat beliau kini memiliki 100 peratus pekerja daripada anak tempatan sejak awal penubuhannya. Berkongsi detik-detik menerokai program i-Usahawan ini, bermula dengan sebuah iklan yang dipaparkan dalam akhbar, kemudian beliau memberanikan diri untuk memohon dan berjaya menerima kontrak pada 27 Mei 2019. Pada tahun pertama, menurut beliau syarikat mereka setentunya giat memantapkan langkah-langkah prosedur operasi standard syarikat. Tambah beliau lagi, usaha diteruskan dengan mengembangkan syarikat dan semestinya mendapatkan lebih banyak kontrak pada tahun kedua.
“Dengan program i-Usahawan ini, Inshaa Allah kita akan dapat menyaksikan golongan belia tanah air kita menjadi para pengusaha yang berjaya sejajar dengan golongan usahawan veteran dalam menerajui pelbagai bidang demi sama-sama mengorak langkah meningkatkan ekonomi negara secara amnya. Di samping itu juga, matlamat untuk melihat lebih ramai penglibatan anak-anak tempatan dalam apa sahaja kegiatan perusahaan atau perniagaan yang sebelumnya dipelopori oleh pekerja dari luar negara,” tambahnya dengan nada penuh harapan.
Pemangkin usahawan belia berjaya
Sehubungan dengan itu, program i-Usahawan dimulakan oleh Kementerian Tenaga dan aktiviti-aktivitinya dalam sektor tenaga terus diterajui oleh kementerian berkenaan bagi menyokong usaha negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk meningkatkan ekonomi dan membangunkan keupayaan tempatan dengan mengutamakan penyertaan perniagaan tempatan dalam sektor tenaga.
Menerusi Program i-Usahawan, usahawan belia yang menyertai program berkenaan akan menjalani Latihan PKS sebelum mereka mengambil bahagian dalam tender tersebut di mana latihan berkenaan dikendalikan oleh Energy Business Academy yang diurus oleh Brunei Shell Joint Venture Companies (BSJV) atau Industry Business Academy yang di bawah bidang tugas Darussalam Enterprise (DARe).
Beberapa modul latihan termasuk proses perolehan, pengurusan sumber manusia, proses tender kerajaan dan pengurusan HSSE. Usahawan-usahawan yang menyertai program berkenaan juga digalakkan untuk mendaftar dan menghadiri pelbagai program keusahawanan yang ditawarkan oleh DARe seperti Micro Bootcamp dan Start-Up Bootcamp.