Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Iftar Ramadan hulur bantuan ke 50 pelajar

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Seramai 50 pelajar Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan menerima sumbangan cenderahati di Program Iftar Ramadan bersama pelajar-pelajar sekolah berkenaan di Tokyo Hall, The Airport Mall, Berakas kelmarin.

    Program anjuran sekolah berkenaan melibatkan kumpulan pelajar yang terdiri dari pelajar-pelajar asrama, anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan dengan bertujuan untuk sama-sama meraih peluang berbagi rezeki dalam bulan Ramadan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Tahlil serta Doa Arwah dipimpin oleh guru dari sekolah berkenaan, Awang Mohd Bahauddin bin Haji Abu Bakar dan diteruskan dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh guru juga dari sekolah yang sama, Awang Haji Zulkhairi bin Haji Brahim.

    Seterusnya majlis menyaksikan sumbangan cenderahati kepada penerima yang disempurnakan oleh guru besar sekolah berkenaan, Pengiran Hasinol Zamri bin Pengiran Haji Piut.

    Selesai berbuka puasa, majlis diteruskan dengan mendirikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah dengan diiimamkan oleh Awang Ali Khairul Faiz bin Haji Ali Amat @ Haji Ramle.

    Program Iftar Ramadan tersebut merupakan amal infaq para guru Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan serta membantu mereka yang memerlukan dalam persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri selain mendoakan mereka yang telah kembali ke rahmatullah.

      Semua di atas: Antara pelajar yang menerima sumbangan dalam majlis berkenaan.

    Atas & Bawah: Antara pelajar yang hadir ke majlis berkenaan.
    Sesi gambar ramai semasa majlis berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda