Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Ihya Ramadan diteruskan di Kg Bebuloh

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Program Ihya Ramadan dan Jangkauan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) diteruskan di Daerah Brunei dan Muara dengan majlis keagamaan di Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Mukim Pangkalan Batu.

    Bersama-sama menganjurkan program tersebut ialah Batalion Pertama Tentera Darat Diraja Brunei (1Bn TDDB) dan Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT). Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pertahanan, Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof hadir bersama-sama penduduk Kampung Bebuloh.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Pemangku Penghulu Mukim Pangkalan Batu, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari, setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan, pemerintah TDDB, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan ABDB. Majlis tersebut bermula dengan bacaan Surah Yasin dan tahlil, berbuka puasa beramai-ramai dengan penduduk Kampung Bebuloh dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah.

    Kemudian, majlis diteruskan sembahyang Fardu Isyak, sembahyang Sunat Tarawih dan Witir yang diketuai oleh Awang Saifullah bin Haji Mohd Sofian. Majlis diakhiri dengan tadarus Al-Quran oleh para jemaah di majlis tersebut.

    Kenyataan menyatakan, Program Ihya Ramadan dan Jangkauan Kementerian Pertahanan dan ABDB merangkumi siri aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di keempat-empat daerah bagi mengeratkan serta mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara Kementerian Pertahanan dan ABDB bersama penduduk setempat terutamanya masyarakat pedalaman dalam sama-sama meraih fadilat dan keistimewaan yang berlipat ganda di bulan suci Ramadan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi hadir semasa majlis tersebut.- Gambar serahan ABDB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda