Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Program imunisasi tingkatkan penjagaan kesihatan

    Oleh Sim Y. H.

    Program imunisasi yang bersistematik adalah antara komponen yang sangat penting dalam penjagaan kesihatan yang harus diberikan kepada setiap individu dari sejak permulaan usia mereka semasa anak damit sehingga dewasa.

    “Di Negara Brunei Darussalam, kita sangat beruntung kerana semua rakyat dan penduduk di negara ini dapat menerima perkhidmatan vaksin secara percuma daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Minggu Imunisasi Sedunia yang membawa tema ‘Kehidupan yang Berpanjangan’, hari ini.

    Beliau berkata Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan iaitu kanak-kanak yang berumur 0-5 tahun, adalah salah satu program yang disediakan di setiap klinik dan pusat kesihatan di negara ini.

    “Semua ini adalah salah satu langkah ke hadapan dalam memperluaskan akses kepada imunisasi terutamanya di kalangan anak-anak damit dan kanak-kanak di negara ini, di samping untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan 2030 dan Liputan Kesihatan Sejagat,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam perutusannya menyatakan antara impak kesihatan yang sangat ketara daripada pemberian vaksin kepada anak-anak damit itu adalah ia boleh mencegah penyakit, kecacatan dan kematian. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan
    Para ibu bapa atau penjaga hendaklah memastikan anak-anak mereka diberikan vaksinasi lengkap bagi melindungi diri daripada penyakit-penyakit berjangkit.

    Dengan adanya Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan, ulas beliau, Negara Brunei Darussalam telah berjaya mencapai dan mengekalkan kadar liputan imunisasi kanak-kanak iaitu di tahap yang melebihi 95 peratus liputan setiap tahun.

    Statistik kadar liputan imunisasi dalam kalangan kanak-kanak itu, telah mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan 2035. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan masih akan terus berusaha untuk menambah baik perkhidmatan yang sedia ada supaya pencapaian itu dapat dikekalkan dan juga ditingkatkan.

    Yang Berhormat Dato dalam perutusannya lagi menyatakan antara impak kesihatan yang sangat ketara daripada pemberian vaksin kepada anak-anak damit itu adalah ia boleh mencegah penyakit, kecacatan dan kematian seperti daripada penyakit Hepatitis B, Campak (Measles), Beguk (Mumps), Polio dan Tetanus.

    “Sementara itu, pemberian vaksin bagi mereka yang berisiko tinggi seperti penyakit-penyakit kronik, pengendali makanan dan pekerja-pekerja kesihatan (frontliners) dapat memberikan perlindungan daripada penyakit-penyakit yang boleh mengancam nyawa seperti influenza dan meningitis yang lazimnya dihidapi semasa umur dewasa.”

    Beliau berkata menurut kajian yang telah dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pemberian Vaksin Human Papilloma Virus yang dikhususkan untuk kanak-kanak perempuan di Tahun 7 persekolahan telah terbukti dapat mencegah atau mampu mengurangkan risiko kanser serviks apabila mereka meningkat dewasa nanti.

    “Secara ringkasnya, program imunisasi yang bersesuaian telah terbukti boleh menyelamatkan nyawa dan mampu memberikan kualiti kehidupan yang lebih tinggi, serta menjamin kesihatan masa depan yang lebih cerah kepada setiap individu,” ujar Yang Berhormat Dato.

    Dalam perihal mandat negara, iaitu berdasarkan peruntukan di bawah Akta Penyakit Berjangkit 2003 Seksyen 47 Bab 1 antara lain menyatakan bahawa para ibubapa atau penjaga hendaklah memastikan anak-anak mereka diberikan vaksinasi lengkap bagi melindungi daripada penyakit-penyakit berjangkit mengikut Jadual 4 daripada akta tersebut yang meliputi 10 jenis penyakit iaitu Difteria, Haemophilus Influenza B, Hepatitis B, campak, Mumps, Pertusis, Polio, Rubela, Tetanus dan Tuberkulosis.

    “Oleh yang demikian, saya menyeru agar semua ibu bapa mengambil serius akan perkara ini dan bertekad untuk lebih komited dalam memastikan anak-anak mereka telah menerima vaksinasi yang lengkap mengikut jadual yang telah ditetapkan dan menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui pusat-pusat kesihatan dan klinik-klinik kesihatan di seluruh negara,” seru beliau.

    Beliau turut mengongsi bahawa atas komitmen yang berterusan daripada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan, khususnya di bawah program imunisasi bagi yang berisiko tinggi dan penjagaan kesihatan awam telah berjaya menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah negara yang diisytiharkan bebas daripada malaria oleh WHO pada 1987, bebas daripada polio pada 2000, bebas daripada campak pada 2015 dan bebas daripada Rubela pada November 2018.

    “Pencapaian ini patut kita teruskan dan kekalkan, dan kita perlu terus berusaha untuk mencapai kecapaian yang sama bagi penyakit-penyakit lain, Insya-Allah.”

    Sementara itu, dalam konteks COVID, Yang Berhormat Dato menyatakan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sangat beruntung kerana kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah melaksanakan Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 bermula 3 April 2021 secara berperingkat mengikut fasa-fasa yang digariskan dalam Strategi Vaksinasi Negara Brunei Darussalam.

    Setakat 23 April 2022, sebanyak 1,107,691 dos vaksin COVID-19 telah diberikan di seluruh negara. Sebanyak 94.6 peratus penduduk telah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin COVID-19 dan 64.1 peratus telah menerima dos penggalak.

    “Program vaksinasi COVID-19 bagi remaja 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun juga telah menunjukkan sambutan yang menggalakkan,” tambah beliau.

    Terdahulu dalam perutusan itu, Yang Berhormat Dato berkata Negara Brunei Darussalam sekali lagi, tidak ketinggalan menyertai negara-negara ahli WHO yang lain dalam menyambut Minggu Imunisasi Sedunia pada 24 hingga 30 April.

    Minggu Imunisasi Sedunia itu, disambut setiap tahun dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan vaksin, yang mana ia boleh melindungi setiap peringkat umur daripada penyakit dan memberi kesempatan bagi semua untuk meneruskan kehidupan yang sihat.

    Jelas Yang Berhormat Dato, seperti lazimnya setiap tahun Minggu Imunisasi Sedunia mempunyai tema yang berbeza yang dijadikan sebagai satu landasan utama untuk menarik perhatian penduduk dunia mengenai isu-isu yang berkaitan dengan imunisasi.

    Tema pada tahun ini iaitu ‘Kehidupan yang Berpanjangan’, telah dipilih dengan tujuan untuk menyatukan semua lapisan masyarakat mengetahu vaksin membolehkan kita mengejar impian, melindungi orang tersayang dan menjalani kehidupan yang panjang dan sihat.

    Pemberian vaksin merupakan salah satu intervensi kesihatan awam yang sangat penting lagi dalam pencegahan penyakit-penyakit dan seterusnya bagi menangani isu-isu kesihatan global.

    Beliau berkata kempen tahun ini datang pada masa yang sangat kritikal kerana pandemik COVID telah mengganggu perkhidmatan kesihatan yang penting, termasuk imunisasi rutin.

    “Dalam masa dua dekad yang lalu, lebih dari 1.1 bilion kanak-kanak telah menerima imunisasi yang mana telah dapat menyelamatkan 4 hingga 5 juta nyawa setiap tahun, di samping dapat mengurangkan separuh daripada kematian kanak-kanak di seluruh dunia.”

    Beliau menambah, “Malangnya disebabkan oleh pandemik COVID, berjuta-juta orang telah kehilangan manfaat vaksin yang boleh menyelamatkan nyawa.

    WHO telah melaporkan liputan vaksinasi global telah menurun daripada 86 peratus pada tahun 2019 menjadi 83 peratus pada tahun 2020. Dianggarkan sebanyak 23 juta kanak-kanak di bawah umur 1 tahun tidak menerima vaksin asas, iaitu jumlah tertinggi sejak tahun 2009.

    “Pada tahun 2020 pula, bilangan kanak-kanak yang tidak divaksin sepenuhnya meningkat sebanyak 3.4 juta. Di samping itu juga, 1.6 juta kanak-kanak perempuan tidak dapat dilindungi sepenuhnya daripada human papillomavirus (NPV) pada 2020, berbanding tahun sebelumnya. Justeru itu, adalah penting bagi mereka yang terlepas ini untuk mendapatkan vaksin dengan segera.”

    Kementerian Kesihatan sentiasa komited dan akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan imunisasi di Negara Brunei Darussalam bagi kanak-kanak dan berusaha untuk meningkatkan liputan imunisasi bagi mereka yang berisiko tinggi di setiap peringkat umur.

    “Dalam masa yang sama, saya juga berharap sambutan Minggu Imunisasi Sedunia pada tahun ini, akan dapat dijadikan sebagai satu iltizam yang kuat dan berkesan kepada kita semua sebagai rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk lebih menghargai kesihatan diri sendiri, lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengambilan vaksin yang sepatutnya untuk mencapai ‘Hidup Yang Lama bagi Semua’, merealisasikan Visi Kementerian Kesihatan ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’ dan mencapai Wawasan Brunei 2035 iaitu Pencapaian Kualiti Hidup Penduduk Yang Tinggi.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...