Thursday, January 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program induksi bimbing tenaga pengajar baharu

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik hari ini telah mengadakan Majlis Pembukaan Program Induksi bagi Tenaga Pengajar Baharu di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Program induksi yang akan diadakan selama lima hari, bermula 15 hingga 21 Januari itu telah disertai oleh 29 orang tenaga pengajar baharu.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis pembukaan program berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

    Dalam ucapannya, Awang Aliuddin menyatakan tenaga pengajar, guru mahu pun pendidik merupakan aset, peneraju dan nadi utama dalam mana-mana sistem pendidikan.

    Guru merupakan tulang belakang kepada sistem pendidikan negara yang mana kualiti dan kejayaan sesuatu sistem pendidikan bergantung sepenuhnya kepada kualiti pendidiknya.

    Awang Aliuddin juga menekankan peranan guru selaku tonggak utama dalam sistem pendidikan dan memainkan peranan yang sangat penting sebagai barisan hadapan dalam merealisasikan visi dan misi Kementerian Pendidikan serta menterjemahkan dasar-dasar pendidikan ke dalam tindakan yang memberi impak langsung kepada pelajar.

    Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Haji Tuah yang juga selaku pengerusi Jawatankuasa Program Induksi bagi Tenaga Pengajar baharu turut menyampaikan ucapan alu-aluan.

    Program berkenaan juga diisikan dengan aktiviti dan taklimat daripada Jabatan Perdana Menteri, jabatan-jabatan di bawah Kementerian Pendidikan dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Antara tujuan program induksi itu diadakan adalah untuk memberi bimbingan kepada tenaga pengajar yang baru berkhidmat agar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja serta melaksanakan tugas dengan baik dengan persediaan yang diberikan, khususnya dalam beberapa tahun pertama berkhidmat sebagai guru.

    Turut hadir ke majlis pembukaan tersebut ialah ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

    Awang Aliuddin menyampaikan ucapan pada perasmian program induksi di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. – GAMBAR SERAHAN FADLEY FAISAL
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN FADLEY FAISAL

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda