Oleh Yusrin Junaidi
TUTONG, 18 JULAI – Sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan berterusan, Persatuan Belia Kampong Lambak (PERBEKAL) meneruskan inisiatif Projek Amal Jariah melalui Infaq Jumaat kali ke-15 dengan mengadakan majlis penyerahan sumbangan di rumah kediaman penerima di Perumahan Negara Bukit Beruang, daerah Tutong pagi tadi.
Sumbangan tersebut telah diberikan kepada seorang ibu tunggal yang turut menyara dua orang anak dan tergolong dalam kategori kurang berkemampuan, iaitu Dayang Amnah binti Wahab.
Hadir bagi menyempurnakan sumbangan ialah Yang Di-Pertua PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran Haji Mahmud; Naib Yang Di-Pertua 1, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof, merangkap Pengerusi Biro Wanita dan Ketua Bahagian Kebajikan dan Kemasyarakatan serta Pengerusi Tetap PERBEKAL dan Ketua Bahagian Keugamaan, Haji Zakaria bin Haji Liman.
Turut hadir ialah ahli PERBEKAL selaku pegawai penyelaras, Dayang Nurul Aziemah binti Hamidon serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi persatuan PERBEKAL.
Melalui sumbangan berkenaan, PERBEKAL berharap dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan serta meneruskan misi memperkukuhkan budaya infaq dan keprihatinan dalam kalangan belia dan masyarakat.
Semua di atas: Gambar ramai ahli PERBEKAL dan penerima semasa penyerahan infaq tersebut.
