Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OGOS – Usaha terus dilaksanakan oleh Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS Council) dalam menyebarkan maklumat serta kesedaran mengenai HIV kepada masyarakat khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Sehubungan itu, BDAIDS Council melaksanakan Program Kesedaran HIV bagi Belia dan Rakan Sebaya (HAPPY), Sekolah Menengah Katok, kelmarin, di mana kira-kira 60 orang pelajar Tahun 9 dan 10 mengambil bahagian.
Program itu merupakan projek yang diterajui oleh belia dengan matlamat untuk menyebarkan kesedaran mengenai HIV termasuk ilmu pengetahuan mengenai kehamilan remaja serta jangkitan penyakit seksual (STI) dalam kalangan remaja dan belia, menyaksikan ceramah disampaikan oleh Presiden BDAIDS Council, Awang Iswandy bin Ahmad dengan aktiviti dikendalikan bersama ahli-ahli pasukan HAPPY.
Awang Iswandy sempat berkongsi statistik tempatan terkini STI dan kehamilan remaja dengan mengetengahkan usia serta jantina yang mendominasi statistik itu.
Beliau turut menyatakan bahawa angka itu boleh dikurangkan dengan mengamalkan sikap berpantang sebagai sebahagian daripada kaedah untuk mencegah golongan belia daripada terlibat dalam tabiat berisiko yang boleh membawa kepada jangkitan STI, hamil di luar nikah atau perkahwinan muda.
Program itu merupakan sebuah program interaktif yang menggabungkan audio dan visual bagi menyampaikan mesej kepada golongan muda di mana mesej-mesej tersebut disesuaikan dengan situasi tempatan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P7-2A_07082023.jpg)