Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menerusi Fakulti Usuluddin telah mengadakan Program International Youth Da‘ie Tour 2019 yang berlangsung selama tiga hari hingga kelmarin di universiti berkenaan.
Program yang diadakan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bermula pada 25 Februari itu membawakan forum bertajuk ‘Cabaran Semasa Pendakwah Muda dalam Menyampaikan Dakwah’, dengan menampilkan para panel yang terdiri daripada kalangan mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Usuluddin, UNISSA dan Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Majlis penutupnya telah diadakan semalam dan dihadiri oleh Penolong Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Asmad selaku tetamu kehormat yang sekali gus menyaksikan pengumuman pemenang Pertandingan International Youth Da‘ie Public Speaking dan peserta terbaik sepanjang program serta penglibatan mereka dalam dakwah yang disertai.
Turut hadir ialah Dekan Fakulti Usuluddin, Dr Hajah Lily Suzana binti Haji Shamsu, timbalan dekan Fakulti Usuluddin dan tenaga-tenaga akademik serta para pelajar.
Semasa forum tersebut, para pelajar telah berkongsi mengenai pengalaman masing-masing dalam melaksanakan aktiviti dakwah dan melihat bagaimana mereka boleh berdepan dengan cabaran dakwah masa kini selaku pendakwah muda.
Terdahulu, Pensyarah Kanan, Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, UKM, Dr Nur A’Thiroh Masyaa’il Tan binti Abdullah telah menyampaikan ucapan yang menyentuh me-ngenai kepentingan dakwah daripada kalangan daie mualaf khususnya kepada orang bukan Islam.
Program berkenaan turut diisikan dengan Pertandingan International Youth Da‘ie Public Speaking dengan tema ‘Kesyumulan Dakwah Memanifestasikan Keunggulan Pendakwah Muda,’ yang bertujuan untuk menonjolkan kebolehan pengucapan umum di kalangan para pelajar selain menimba pengalaman dalam menghadapi khalayak ramai ketika berdakwah.
Turut diadakan ialah perbincangan ilmiah yang diadakan dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, dengan tajuk ‘Kesyumulan Dakwah Memanifestasikan Pembangunan Mualaf’ bersama para panel yang terdiri daripada wakil PDI dan para mahasiswa UNISSA dan UKM.
Program seumpama ini menjadi platform kepada para pelajar dari kedua-dua buah institusi untuk berkenalan dan menjalin ukhuwah serta meluaskan jaringan dalam menimba pengetahuan dan pengalaman serta melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
Rombongan dari UKM yang diketuai oleh Dr Nur A`Thiroh Masyaa`il Tan itu bukan hanya disertai para pelajar daripada Program Dakwah dan Kepimpinan malah daripada Program Sains Sosial.