Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Program Sekolah Perubatan Musim Panas Antarabangsa (ISMS) yang merupakan program kerjasama tahunan Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Fakulti Perubatan, Universiti Kagawa (KUFM) membuka tirainya pagi tadi dengan majlis perasmian di Dewan Serba Guna, PAPRSB IHS.
Hadir bagi menyempurnakan perasmian program itu ialah Charge d’Affaires di Kedutaan Jepun ke Brunei Darussalam, Dr. Toshio Kaneko.
Tahun ini, PAPRSB IHS telah menerima seramai lapan orang pelajar Jepun yang akan menyertai program berkenaan yang akan berlangsung sehingga 26 Ogos.
Program ISMS merupakan usaha berterusan UBD dalam mempromosikan pertukaran pelajar dalam peranannya sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa dan ia juga menunjukkan perhubungan yang kukuh di antara dua buah institut tersebut dalam aktiviti akademik dan pertukaran pelajar.
Dr. Toshio Kaneko dalam ucapannya menyatakan bahawa program berkenaan telah diadakan sejak tahun 2006 dan ini merupakan kali ke-11 ia dilaksanakan.


Program ini, jelasnya lagi, memberikan peluang keemasan kepada para pelajar dalam sama-sama meningkatkan dan memperkembangkan lagi persefahaman di antara Jepun dan Negara Brunei Darussalam.
Beliau juga menasihatkan lapan orang peserta tersebut untuk meningkatkan lagi bukan sahaja kemahiran praktikal dalam perubatan malah kemahiran komunikasi antarabangsa dan juga pemikiran global.
Menurutnya lagi, para peserta akan diberikan peluang untuk mempelajari perbezaan dalam mendekati kurikulum perubatan di Brunei berdasarkan pembelajaran berasaskan projek (PBL).
Manakala itu, penyelaras program, Dr. Noor Faizah binti Mohd Nain dan Dr Li Ling Chaw pula menekankan bahawa program merupakan satu pengalaman yang berharga bagi pelajar-pelajar perubatan Jepun untuk menghargai dan menjalani kehidupan sebagai pengamal perubatan masa depan dan menyediakan diri mereka untuk melanjutkan pengajian di luar negara.
Di samping itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi mereka dalam Bahasa Inggeris dan juga akan memberi manfaat kepada pelajar tempatan di PAPRSB IHS kerana ia memberikan pendedahan dan membolehkan interaksi dengan pelajar antarabangsa dalam bidang pengajian yang sama.
Di samping itu, ia memperluaskan wawasan mereka dalam aktiviti akademik, sosial dan budaya, selain memperkuat persahabatan antara pelajar perubatan Brunei Darussalam dan Jepun.