Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Program Jati Diri merupakan program yang bertujuan untuk memupuk jati diri, menanam nilai-nilai peribadi yang tinggi serta membentuk ketahanan mental yang kuat di kalangan pelajar.
Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Pendidikan Teknik / Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli dalam kata alu-aluannya di Majlis Pembukaan Program Jati Diri Kohort 7 yang berlangsung di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, Temburong, kelmarin. Hadir untuk menyempurnakan pembukaan program berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.
Dr Haji Mohd Zamri dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa jati diri dalam kalangan pelajar merupakan aspek penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berdisiplin.
“Ada beberapa elemen dan komponen penting yang ditekankan di dalam Program Jati Diri ini iaitu nilai jati diri; keugamaan dan kenegaraan; komponen disiplin dan latihan fizikal; komponen keusahawanan serta komponen khidmat komuniti,” ujar beliau.
Beliau menyatakan harapan dengan adanya elemen dan komponen berkenaan, program itu dapat membantu para pelajar menjadi individu yang lebih berdaya saing, berjiwa kental dan mempunyai nilai-nilai murni dalam jiwa mereka serta memupuk rasa perpaduan dan kemahiran kerja berpasukan yang positif dalam diri mereka.


“Ini secara tidak langsung dapat menaikkan nama dan imej IBTE selaras dengan tagline IBTE iaitu Inspiring Bruneians Towards Excellence,” tambahnya lagi.
Dr Haji Mohd Zamri juga berharap para pelajar akan menggunakan peluang emas yang diberikan sebaik-baiknya untuk membina kemahiran, menambah pengetahuan dan mengilap sifat-sifat kepimpinan yang ada dalam diri para pelajar.

Beliau turut berharap semoga nilai-nilai positif dan nilai kerohanian yang dipelajari dalam program itu akan sentiasa diamalkan oleh mereka dalam apa jua situasi atau keadaan supaya dapat menjadi insan yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan.

Program itu yang disertai seramai 50 orang pelatih dan berlangsung selama 90 hari itu merupakan sebahagian daripada program iSkill Industrial Skills Qualification (ISQ) dalam Marking and Fitting, Rigging dan Scaffolding di bawah IBTE. Program berkenaan juga adalah usaha kolaborasi antara Pejabat Perancangan Tenaga Manusia (PPTM), IBTE dan Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN).

