Wednesday, July 23, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Jati Diri Kohort ke-9 bermula

    Oleh Sim Y. H.

    TEMBURONG, 23 JULAI – Dalam dunia yang sentiasa berubah, adalah penting untuk memperkasa belia dengan kemahiran yang relevan. Ini kerana belia merupakan aset berharga yang bakal memikul tanggungjawab mewarisi dan memimpin negara, demi menyokong pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

    Yang Mulia Hajah Nor Ashikin semasa menghadiri acara berkenaan.

    “Selain itu, sifat daya ketahanan dan disiplin adalah penting untuk disemai dalam setiap individu. Sifat-sifat ini perlu dipupuk bagi mempersiapkan mereka dalam menghadapi kegagalan, serta terus maju dengan tekad dan semangat yang jitu. Disiplin juga memainkan peranan yang penting, kerana bakat dan kemahiran sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan.”

    Penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dalam ucapannya di Majlis Pembukaan Program Jati Diri Kohort ke-9 yang berlangsung di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara, Batu Apoi, Temburong pagi tadi.

    YM Hajah Nor Ashikin menyampaikan ucapan.

    Melalui Program Jati Diri, ulasnya, nilai-nilai berkenaan akan dapat diterapkan bagi melahirkan tenaga kerja yang boleh bekerja, berdayatahan dan sesuai dengan pasaran.

    Matlamat itu hanya dapat dicapai melalui kerjasama dan peranan pihak kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri dalam mengenal pasti kemahiran-kemahiran yang diperlukan serta menyediakan peluang pekerjaan yang bermakna kepada tempatan, tambah Hajah Nor Ashikin.

    Beliau menyatakan bahawa semasa tempoh latihan itu, pelbagai ujian ketahanan fizikal, mental, emosi, kerohanian dan cabaran akan diharungi oleh para pelatih.

    Atas & Bawah: Antara pelatih yang menyertai program berkenaan.

    “Oleh itu, doa, sokongan dan dorongan ibu bapa serta penjaga turut menjadi kunci dalam menyuntik semangat dan motivasi kepada para pelatih untuk terus berjuang dengan penat lelah demi mencapai kecemerlangan pada masa hadapan.”

    Antara ibu bapa dan penjaga yang turut hadir.

    Hajah Nor Ashikin seterusnya menyarankan para pelajar untuk sentiasa mengamalkan sikap positif, sabar dalam mengatasi cabaran, hadapi dengan minda yang terbuka dan memanfaatkan peluang yang diberikan dengan sebaik-baiknya.

    Beliau mengakui bahawa tidak dinafikan dunia pekerjaan kini semakin mencabar dan kompetitif namun dengan berkarih, berjarih dan tawakal, beliau yakin mereka akan belurih menuai kejayaan serta kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa akan datang.

    Beliau menyatakan lagi bahawa belia adalah harapan dan cerminan masa depan negara.
    “Oleh itu, kecemerlangan bukan sahaja diukur melalui markah atau gred yang tinggi, malah meliputi budi pekerti, adab, iman, takwa, tanggungjawab kepada masyarakat dan negara serta menjadi insan yang berguna dan penyumbang dalam pembangunan negara.”

    Pelatih melafazkan ikrar semasa acara berkenaan.

    Hajah Nor Ashikin menyatakan yakin bahawa mereka akan menjadi pemimpin, pendidik, usahawan dan warga negara yang berperanan besar dalam memacu kejayaan negara.

    “Maka tanamkanlah nilai jati diri yang kukuh, semangat perpaduan, dan kesediaan untuk berkhidmat dengan ikhlas dan sepenuh hati.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda