Monday, January 13, 2025
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Jaulah Solat Muhsinin di Masjid Lambak Berakas

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Sempena Sambutan Israk dan Mikraj serta Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40, Program Jaulah Solat Muhsinin telah diadakan di Masjid Lambak Berakas, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang merupakan usaha sama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Jabatan Hal Ehwal Masjid itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) dan ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohammad Yusof selaku penasihat Masjid Lambak Berakas.

    Program diisikan dengan solat Fardu Maghrib, ceramah (kuliah) khas Israk dan Mikraj serta Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam. Ceramah disampaikan oleh pensyarah KUPU SB, Dr Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Mulok selaku penceramah undangan.

    Antara yang disentuh termasuk mengenai memperingati peristiwa Nabi Muhammad SAW semasa Israk dan Mikraj, kepentingan dan kewajipan solat yang diberikan kepada umat Islam serta kepentingan solat untuk mencegah perkara-perkara kemungkaran.

    Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai masjid berkenaan, penduduk Kampung Lambak A, B dan Kampung Terunjing serta ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Lambak Berakas.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan hadir selaku tetamu kehormat semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN AJK MASJID LAMBAK BERAKAS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda