Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Jelajah Perpustakaan sempena Hari Guru ke-35

    Oleh Daniel Lim – 

    BELAIT, 23 SEPT – Lebih 50 kanak-kanak dan belia Daerah Belait menyertai pelbagai aktiviti dan permainan interaktif menerusi Program Jelajah Perpustakaan sempena sambutan Hari Guru ke-35, hari ini.

    Acara yang dianjurkan oleh Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan itu telah diadakan di perkarangan perpustakaan berkenaan.

    Antara aktiviti pada acara tersebut ialah permainan teka-teki yang melibatkan kemahiran berfikir kritis peserta termasuk aktiviti membaca yang menguji pemahaman mereka tentang kisah yang terdapat dalam buku.

    Aktiviti lain turut diadakan seperti kuiz berkaitan dengan tema sambutan itu untuk semua peringkat umur serta sesi kraf tangan untuk ibu bapa, penjaga dan orang dewasa yang hadir.

    Pada akhir acara, kanak-kanak dan belia yang menyertai permainan dan aktiviti yang diadakan di sepanjang program itu juga berpeluang memperoleh hadiah masing-masing.

    Perpustakaan berkenaan berharap agar aktiviti yang diadakan dapat memberi peluang kepada kanak-kanak dan belia yang hadir untuk meluangkan masa bersama, di samping menghargai usaha dan jasa guru di sekolah sekali gus membantu perkembangan diri para pelajar sebagai pemimpin masa depan.

    Di samping itu, program itu juga berfungsi untuk mempromosikan perpustakaan sebagai lebih daripada sekadar tempat pembelajaran, sebaliknya sebagai pusat untuk masyarakat berkumpul dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang menarik.

    Antara kanak-kanak yang menyertai permainan dan aktiviti yang diadakan pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara yang menyertai aktiviti kraf tangan pada acara itu. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda