Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program jelaskan panduan solat orang sakit

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Seramai 130 peserta telah menyertai Program Pengukuhan Institusi Kekeluargaan melalui Bimbingan Imam dan Makmum dalam Keluarga Siri Kedua yang memberi tumpuan kepada bimbingan solat orang sakit, bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kewajipan menunaikan ibadah solat walaupun dalam keadaan kesihatan yang terbatas.

    Program berkenaan dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Imarah dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Salambigar, Mukim Berakas B dan diadakan secara berkala sebulan sekali. Terdahulu, siri pertama berlangsung di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop pada Ogos lalu.

    Bagi edisi kali ini, bimbingan serta praktikal solat orang sakit telah disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Yang Mulia Awang Ahmad Suja’ie bin Begawan Mudim Haji Metassim, Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

    Peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Masjid; Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital RIPAS; Balai Polis Berakas, Pasukan Polis Diraja Brunei; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Kementerian Pembangunan serta Syarikat Takaful Brunei. Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Salambigar, Muslimah serta jemaah masjid berkenaan.

    Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh perpaduan keluarga melalui solat berjemaah, memberi pendedahan mengenai rukhsah solat agar kewajipan tetap terpelihara walaupun dalam keadaan kesulitan, serta menerapkan nilai kemasyarakatan seperti ketaatan makmum kepada imam di samping mengimarahkan masjid sebagai pusat penyebaran ilmu.

    Semua di atas: Antara suasana semasa program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda