Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS – Jerayawara Kesedaran Kewangan sempena Hari Celik Kewangan Kebangsaan (NFLD) 2025 yang bertemakan Bijak Wang, Selamat Secara Digital, melabuhkan tirainya dengan Majlis Penutup Jerayawara Kesedaran Kewangan yang berlangsung di Dewan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), hari ini.
Majlis berkenaan menandakan penutupan rasmi bagi acara dua hari yang dianjurkan bersama oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Kementerian Pendidikan, bertujuan untuk memperkukuh celik kewangan dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran interaktif dan penyertaan aktif.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan, BDCB, Hajah Rashidah binti Hj Sabtu, yang juga sebagai ahli Majlis Kebangsaan Celik Kewangan (MKCK); Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris Bin Brigadier Jeneral (Rtd) Dato Paduka Haji Ibrahim selaku Urusetia Majlis Kebangsaan Celik Kewangan (MKCK) serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan BDCB.
Acara kemuncak majlis turut diserikan dengan sesi penyampaian hadiah bagi pemenang pertandingan FIN-novators yang telah mempamerkan projek-projek dalam Financial Maze pada hari pertama jerayawara berkenaan dengan menggunakan alat dan permainan interaktif yang mencerminkan senario serta konsep kewangan sebenar.
Bagi Kategori Guru, tempat pertama dimenangi oleh Pusat Tingkatan Enam Belait yang diwakili oleh Dayang Norlela binti Haji Puasa, Dayang Nur Amalina binti Md Jair dan Haji Ahmad Nashihin binti Haji Salim dengan produk mereka Takaful Trail.
Manakala bagi tempat kedua pula telah disandang oleh Sekolah Menengah Masin dan tempat ketiga jatuh kepada Sekolah Menengah Sayyidina Othman.
Sementara itu, bagi Kategori Pelajar pula, Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan muncul juara dengan ahli pasukan terdiri daripada Dayangku Alviana Arena Adlina Amirah binti Pengiran Alimin, Dayang Nur Aliah binti Dato Seri Pahlawan Spry dan Dayang Jaezah Thaqifah binti Hamjah dengan produk mereka Reality Cheque atau Ringgit Rangers.
Tempat kedua telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan diikuti di tempat ketiga oleh sebuah kumpulan lagi dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
Sebelum majlis penutup, hari terakhir jerayawara diteruskan dengan aktiviti dalam Financial Maze.
Para pelajar berpeluang untuk meneroka pelbagai topik seperti pengurusan kewangan, simpanan dan pelaburan, pembayaran digital, perancangan persaraan, keusahawanan serta perlindungan pengguna kewangan.
Financial Maze turut menampilkan pameran dari BDCB, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Tabung Amanah Pekerja (TAP), Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Cyber Security Brunei, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Baiduri Bank, Standard Chartered Bank, Bank Usahawan, Insurans Islam TAIB, Syarikat Takaful Brunei Darussalam, AIA Brunei, BIBD Securities, Standard Chartered Securities, National Digital Payment Network (ndpx) serta Datastream Digital (DST).
Secara keseluruhan, seramai lebih daripada 2,000 orang pelajar dari Tahun 7, 8, 9, 10, dan 12 telah menyertai acara ini dari keempat-empat daerah, termasuk pelajar-pelajar dari kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan.
Jerayawara Kesedaran Kewangan NFLD 2025 mencerminkan komitmen berterusan BDCB dalam memupuk generasi celik kewangan dan berdaya tahan digital.
Melalui pendekatan kolaboratif, inisiatif itu bertujuan untuk membekalkan golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran jangka panjang yang diperlukan untuk mengurus kewangan secara bijak, menavigasi persekitaran kewangan digital dengan selamat serta menjadi pengguna kewangan yang berkeyakinan dan bertanggungjawab.




