Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) mencatatkan satu lagi mercu tanda yang signifikan ke arah Program Kadet Juruterbang di mana tujuh orang kadet juruterbang telah dipilih daripada seramai 264 orang pemohon yang disenarai pendekkan untuk menyertai program latihan mencabar berkenaan.
Ia merupakan satu detik yang amat bermakna bagi kadet-kadet tersebut di mana mereka memulakan kehidupan baharu yang menarik serta kerjaya yang amat berbaloi bagi diri mereka.
“Program Kadet Juruterbang RB pada 2023 merupakan kali pertama ia dijalankan sejak pandemik global melanda dan diharap akan dapat terus dilaksanakan dalam tahun-tahun mendatang di mana permintaan bagi juruterbang perlu diisi secara berterusan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid ketika berucap pada Majlis Penandatanganan Perjanjian Kadet Juruterbang Pengambilan ke-54 yang berlangsung di Hab Kerjasama, Kampus RB, hari ini.
Beliau menambah bahawa program berkenaan merupakan asas bagi memupuk bakat tempatan sejak 1980 dan pada hari ini, terdapat seramai 115 orang juruterbang tempatan yang mengendalikan penerbangan mereka dengan selamat, cemerlang dan profesional.
Kapten Sabirin seterusnya berkata bahawa para kadet yang dipilih adalah berdasarkan kepada pencapaian dan potensi tinggi mereka semasa tempoh penilaian di mana pihak RB yakin mereka akan terus menyerlah dalam latihan selama 108 minggu bersama rakan latihan RB di Eropah.
Beliau turut mengongsi pengalamannya semasa melalui latihan serupa di mana mereka akan berhadapan dengan cabaran tetapi dengan keazaman dan keinginan, beliau yakin mereka akan dapat melaksanakan latihan dengan jayanya.
“Kami percaya awda akan mempunyai kerjaya yang menarik dan hebat dengan RB. Berbangga dengan diri awda menjadi sebahagian daripada penerbangan kebangsaan dan membantu RB menghubungkan ruang angkasa kita dengan semua destinasi yang akan awda terbang pada masa hadapan,” ujarnya kepada kadet-kadet baharu berkenaan.
Tujuh orang kadet juruterbang yang dipilih dan menandatangani perjanjian ialah Awang Muhammad Hafiy Rusyduddin bin Haji Abdul Hadi, Awang Muhammad Najiullah Al-Aqiel bin Dr Mohammad Adi Zaky, Awangku Abdul Wafi bin Pengiran Mohd Noor Joffren, Awang Abdul Malik bin Julkipli, Awang Muhammad Qayyum Syafiq bin Haji Shukri, Lim Ren Jie dan Awang Muhammad Hafizuddin bin Haji Ali Rahim.
Menandatangani bagi pihak RB ialah Kapten Sabirin; Ketua Pegawai Kakitangan dan Prestasi, Haji Abdul Nasir bin Haji Bolhassan; dan Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Haji Badarudin bin Haji Bagol.
Salah seorang kadet, Awang Muhammad Hafizuddin dalam temu bual ringkas bersama Media Permata menyatakan perasaan gembira kerana terpilih sebagai salah seorang kadet juruterbang di mana ia merupakan langkah pertama dalam perjalanan untuk mencapai cita-citanya menjadi seorang juruterbang.
Menurutnya lagi, menjadi seorang juruterbang merupakan impiannya sejak kecil lagi dan beliau telah menyertai proses pemilihan dua kali sebelum ini dan pada kali ketiga berjaya terpilih sebagai salah seorang kadet juruterbang.
Beliau mengakui bahawa proses latihan yang akan dilaluinya bersama kadet juruterbang lain, adalah amat mencabar dan yakin bahawa dengan ketekunan serta semangat yang tinggi mereka dapat menamatkan latihan dengan jayanya.