Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Dalam usaha mempergiatkan lagi program bercorak keagamaan bersempena dengan hari-hari kebesaran Islam, Program Keagamaan Belia (PKB) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Program Rehlah Ilmiah.
Program yang berlangsung di Masjid Kampung Belimbing Subok itu diadakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul dan diungkayahkan melalui kolaborasi bersama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).
Diselajurkan dengan sambutan ulang tahun pertamanya, program berkenaan melibatkan Belia Da’ie PDI, Belia Mualaf As-Syahadah dan Belia Masjid Kampung Belimbing Subok.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof. Turut hadir ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dan Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Program berkenaan juga diadakan untuk mempelbagaikan metodologi dakwah kepada golongan belia mengikut perkembangan semasa, membina jati diri yang berorientasikan Melayu Islam Beraja (MIB) dan memupuk rasa cinta terhadap masjid dengan memakmurkannya dari semasa ke semasa.
Ia diisikan dengan aktiviti seperti Qiamulail, sembahyang Fardu Subuh berjemaah, Tazkirah Subuh yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Kampung Belimbing, Subok, Pengiran Haji Mohammad Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar, bacaan Surah Al-Kahfi yang dikepalai oleh mahasiswa dari ITQSHHB, Awang Muhammad Farhan @ Ali bin Halim.
Selain itu, bacaan Surah Sajdah dan Surah Insan yang dikepalai oleh mahasiswa ITQSHHB, Awang Muhammad Hisyamuddin bin Haji Mahadini, aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan Masjid Kampung Belimbing, Subok serta merentang sejadah untuk persediaan sembahyang Fardu Jumaat.
