Oleh Salawati Haji Yahya, Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Selaras dengan Sambutan Hari Guru ke-27, Program Keagamaan Senegara Persekolahan Agama dan Arab bagi bulan September 2017 telah diadakan dengan mengetengahkan tema ‘Kecemerlangan Guru Teras Kejayaan Ummah’.
Di Daerah Brunei dan Muara, program diadakan di Surau Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD) yang telah dihadiri oleh para pelajar sekolah berkenaan.
Program sesi petang bagi Brunei IIB pula telah berlangsung di Sekolah Ugama Sungai Besar. Turut hadir majlis itu ialah Pembantu Pengajian Islam Daerah Kawasan Brunei IIB, Awang Othman bin Haji Ismail.
Di Daerah Tutong, lebih 100 orang murid Darjah Pra, 1, 4 hingga 6 Sekolah Ugama Sengkarai menghadiri program berkenaan yang diadakan di Bilik Ibadat sekolah tersebut.
Program di sekolah berkenaan turut dihadiri oleh Guru Besar Sekolah Ugama Sengkarai, Hajah Siti Arbi binti Haji Libut dan pegawai-pegawai dari Jabatan Pendidikan Islam.
Sementara itu, di Daerah Belait, lebih 500 ratus pelajar sesi pagi dan petang Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah telah menyertai program yang diadakan di sekolah tersebut sebagai pusat tumpuan untuk daerah berkenaan bagi bulan ini.



Program seumpamanya juga telah diadakan di Sekolah Ugama Bokok di Daerah Temburong.
Program-program berkenaan telah diisikan dengan tazkirah berdasarkan tema program yang antara lain menyentuh mengenai peranan penting guru dalam mendidik pelajar untuk menjadi individu berpengetahuan, cemerlang dan mulia untuk kepentingan negara.
Tazkirah tersebut turut menekankan bahawa guru diamanahkan untuk menanai tugas melahirkan insan syumul yang berupaya memenuhi tuntutan duniawi dan ukhrawi secara seimbang, selain tugas guru tidak terbatas pada usaha mengajarkan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai, malah tugas ini merupakan suatu proses yang berterusan sepanjang hayat dan kompleks yang melibatkan pembangunan aspek fizikal, kognatif, sosial dan kerohanian secara bersepadu.
Kemudian, program diikuti dengan bacaan Ratib Al-Attas, Doa Hari Guru dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di semua sekolah Arab dan agama selain meningkatkan keberkesanan program kokurikulum.
Selain itu juga ke arah melahirkan akidah yang kukuh dan akhlak mulia melalui program pendidikan kokurikulum dengan melibatkan semua pelajar mengikuti program penghayatan beragama.
Program berkenaan bukan saja mengasah minda pelajar tapi juga berperanan membentuk sahsiah pelajar di mana penglibatan pelajar dan komitmen tinggi ini membolehkan pelajar menimba pengalaman.
Di samping itu, program juga bertujuan untuk meningkatkan keterlibatan guru-guru agama khususnya dalam aktiviti kokurikulum seterusnya mendorong mereka menghadapi dunia sebenar apabila bergaul dengan masyarakat.