BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Program Kejuruteraan Am Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menjadi yang pertama di Brunei mendapat pengakreditasian Lembaga Akreditasi Kejuruteraan dan Teknologi (ABET).
UBD dalam kenyataannya menjelaskan bahawa program sarjana muda dalam kejuruteraan am itu telah diberikan akreditasi penuh oleh Suruhanjaya Pengakreditasian Kejuruteraan ABET, pengakreditasi program-program kolej dan universiti global dalam sains gunaan dan semula jadi, pengkomputeran, kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan. Menurut UBD, ini merupakan program kejuruteraan pertama di Brunei yang diakreditasikan oleh ABET yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan diasaskan pada 1932.
Pengakreditasian ABET menjamin bahawa program-program memenuhi standard untuk melahirkan graduan yang sedia untuk memasuki bidang-bidang teknikal kritikal yang berada di hadapan dalam inovasi dan teknologi-teknologi baharu muncul dan menjangkakan keperluan kesejahteraan dan keselamatan orang awam.
Dibangunkan oleh profesional-profesional teknikal daripada persatuan-persatuan ahli ABET, kriteria ABET memfokuskan ke atas apa yang dialami dan dipelajari oleh para pelajar.
Pengakreditasian ABET melihat kurikulum program, fakulti, kemudahan dan sokongan institusi serta dikendalikan oleh pasukan profesional yang berkemahiran tinggi dari industri, akademia dan kerajaan dengan kepakaran dalam disiplin-disiplin ABET.
Kenyataan menyatakan, program kejuruteraan am di UBD ditawarkan oleh Fakulti Teknologi Berintegrasi (FIT) yang ditubuhkan pada 2012. Program membolehkan para pelajar memilih tiga major iaitu Sistem Informasi dan Komunikasi, Sistem Tenaga dan Sistem Pengeluaran. Dekan FIT, Profesor Dr Chandratilak De Silva Liyanage dipetik menyatakan bahawa dari mula penubuhannya, FIT menekankan pendidikan berasaskan rekaan yang berkualiti dan kejuruteraan meluas dengan kurikulum inovatif yang meningkatkan pembangunan peribadi dan profesional pelajar.
Beliau berkata, pengakreditasian berkenaan merupakan saat yang sangat membanggakan dan ia adalah hasil semangat dan dedikasi ke arah pendidikan berkualiti.
Sementara itu, Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti POKLWDSS Haji Awang Abdul Aziz pula dipetik berkata, akreditasi penuh ABET bagi program kejuruteraan am UBD menjamin keyakinan tinggi bahawa program-program kejuruteraan mereka memenuhi standard tinggi antarabangsa yang penting dalam mempersiapkan graduan untuk memasuki bidang-bidang STEM yang kritikal dalam persekitaran tenaga kerja global yang mencabar.
“Ia juga meletakkan UBD sebagai pemain antarabangsa dalam pendidikan kompetitif dan canggih dari segi teknologi, inovasi dan perusahaan. Alhamdulillah, ini benar-benar kejayaan luar biasa bagi UBD dan bagi pengakreditasian ini, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan kuat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” tambah beliau.
