Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Pasukan Jabatan Penjara muncul sebagai juara dalam perlawanan persahabatan futsal sempena Program Kemasyarakatan dan Sokongan Keluarga Penghuni Penjara yang berlangsung di Daerah Belait, hari ini.
Manakala Pasukan NFABD menyandang gelaran naib johan dan Pasukan MPK RPN Lumut B menduduki tempat ketiga dalam kejohanan yang disertai oleh lapan pasukan itu.
Perlawanan berkenaan merupakan acara kemuncak program yang dianjurkan oleh Jabatan Penjara melalui Bahagian Pemulihan dan Reintegrasi, dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait, Biro Kawalan Narkotik (BKN), Majlis Perundingan Mukim Liang, Aftercare Support Association (AFSA), Persatuan Bolasepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) serta sokongan daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan AE Enterprise.
Program itu melibatkan penyertaan daripada Rakan Seliaan (RS), residen Skim Pelepasan Sementara (SPS), Rakan Harmoni dari BKN, ahli keluarga mereka serta masyarakat sekitar Mukim Liang yang memerlukan perhatian dan bimbingan.
Salah satu daripada siri program kemasyarakatan yang dirancang diadakan di keempat-empat daerah, dengan Daerah Belait menjadi lokasi pertama penganjuran, acara tersebut bertujuan menyediakan ruang interaksi sosial yang sihat antara bekas banduan dengan masyarakat, membuka peluang menjana ekonomi serta memupuk gaya hidup positif dalam kalangan peserta selepas pembebasan.
Selain pertandingan futsal, peraduan mewarna kanak-kanak juga diadakan, bertujuan menggalakkan penglibatan keluarga dan komuniti secara menyeluruh.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon.
Turut hadir, Pemangku Pengarah Penjara, Awang Bahrin bin Mohd Yassin; Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Muhammad Faiz bin Haji Rani; Pengarah Urusan AE Enterprise, Chai Yum Fatt; Pemangku Penghulu Mukim Lumut, ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai BKN, NFABD, anggota Jabatan Penjara termasuk Pasukan Serunai dan Tambur.
Dalam ucapan, Penguasa Penjara Pengiran Roslinawati binti Pengiran Haji Omar, selaku Ketua Bahagian Pemulihan dan Reintegrasi Jabatan Penjara, menegaskan komitmen jabatan untuk terus mendekatkan program pemulihan kepada komuniti melalui penglibatan bersepadu masyarakat dalam menyokong proses reintegrasi sosial bekas banduan.
Usaha tersebut, menurut beliau, bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan bekas penghuni penjara dan keluarga mereka, tetapi juga memperkukuhkan ikatan kekeluargaan, seterusnya memperluas penerimaan komuniti terhadap golongan yang memerlukan perhatian dalam masyarakat.