Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Kembara Borneo erat silaturahim UNISSA, UMS

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali (MPP PPUNISSA) sesi 2023/2024 melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah berkolaborasi dengan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Non Residen (JAKMNR), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam menganjurkan program Kembara Borneo buat pertama kalinya di Negara Brunei Darussalam.

    Program tersebut telah berlangsung selama tiga hari, 28 hingga 30 Mei lalu yang melibatkan seramai 30 orang pelajar dan kakitangan JAKMNR, UMS, dan 25 dari MPP PPUNISSA.

    Ketibaan pihak UMS dialu-alukan oleh Dekan HEP UNISSA, Haji Hayatuddin bin Haji Moksin dengan jamuan serta sesi perkenalan antara pihak JAKMNR, UMS, HEP UNISSA dan MPP PPUNISSA.

    Program telah dirasmikan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar, Hasmi bin Hashim, Pengarah Program, Luqman Nur Haqim bin Nurulizat serta Dayang Norsadiah binti Matarsad mewakili Pejabat HEP UNISSA.

    Majlis diteruskan dengan sesi ramah mesra antara kedua-dua pihak dalam bentuk taklimat.

    Kakitangan dan pelajar UMS dan UNISSA bergambar ramai semasa program berkenaan.– GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Rombongan UMS dibawa melawat ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    Yang Di-Pertua JAKMAS, Kolej Kediaman Non Residen, Afiq Aqmar Danial bin Abdul Rahman menyampaikan tujuan tertubuhnya persatuan dan sistem pengendalian penginapan bagi penuntut yang tinggal di luar kawasan universiti.

    Bagi pihak UNISSA, taklimat mengenai latar belakang dan tertubuhnya institut UNISSA, PPUNISSA, serta Kolej Kediaman UNISSA telah disampaikan oleh Setiausaha 1, MPP PPUNISSA, Awang Muhamad Syafiq bin Mohammad Ali Sabri.

    Rombongan UMS kemudiannya dibawa melawat fasiliti-fasiliti yang terdapat di UNISSA, Kampus Gadong.

    MPP PPUNISSA turut mengendalikan lawatan ke Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja.

    Peserta program turut mengenali sejarah sebelum, semasa dan perancangan masa depan minyak dan gas di Negara Brunei Darussalam termasuk permainan interaktif mengenainya.

    Lawatan diteruskan dengan menaiki perahu tambang untuk menuju ke Galeri Kebudayaan dan Pelancongan Kampong Ayer di mana peserta didedahkan kepada karya hasil kesenian Kampong Ayer yang ingin dikekalkan agar tidak pupus.

    Selain itu, aktiviti bergotong-royong juga dilakukan di Surau Al-Syafi’ie, UNISSA, Kampus Gadong.

    Program diakhiri dengan sesi penghargaan daripada pihak UMS kepada pihak Kolej Kediaman UNISSA, MPP UNISSA dan HEP UNISSA dengan CSR ringkas menanam pokok di UNISSA, Kampus Gadong, sebagai tanda jalinan silaturahim antara UMS dan UNISSA.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda