Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Daniel Lim
BELAIT, 5 FEB – Sekolah Arab Belait kelmarin telah mengadakan Program Kepimpinan Pelajar 2023 di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan bagi 26 orang pelajar yang terdiri daripada raed dan raedah (prefek), ketua serta penolong ketua kelas sekolah berkenaan.
Objektif program berkenaan adalah bagi mengenal diri sendiri sebagai seorang pemimpin dan mengenali kawan-kawan.
Pada masa yang sama ia juga diadakan bagi mewujudkan kumpulan pemimpin yang bekerja dalam satu pasukan dan seterusnya meyakinkan diri sendiri, khususnya apabila bercakap di hadapan khalayak ramai.
Selain itu, menerusi program tersebut para peserta juga diharap dapat mengetahui bahawa tugas yang diamanahkan kepada mereka sangat penting dan diperlukan oleh pihak sekolah.
Pergerakan Belia MINDA merupakan fasilitator program berkenaan yang diharap akan dapat membantu memberikan dorongan dan semangat yang tinggi kepada para pemimpin pelajar dalam menjadi seorang ketua.
Program tersebut juga diharap akan dapat membantu membentuk sahsiah yang cemerlang dalam kalangan pelajar di samping menggalakkan mereka agar sentiasa menanamkan sifat yang positif serta saling menyokong antara satu sama lain dalam sama-sama menimba ilmu yang telah dipelajari.