Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Seramai 23 orang pelajar Tahun 10 Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (Maktab SOAS) telah menyertai dalam Program Kesedaran HIV untuk Rakan Sebaya dan Belia (HAPPY) sebagai sebahagian daripada program kesedaran sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Program anjuran Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAIDS) itu merupakan projek yang diterajui oleh belia untuk menyebarkan kesedaran HIV termasuk pengetahuan tentang kehamilan remaja dan penyakit jangkitan seksual (STI).
Ia merupakan program interaktif yang menggabungkan audio dan visual serta aktiviti interaktif untuk menyampaikan mesej kepada golongan muda yang merangkumi mesej yang telah disesuaikan dengan tetapan tempatan.
Mewakili Majlis BDAIDS dalam menyampaikan dan membimbing program itu ialah Penyelaras Projek HAPPY, Dayang Siti Kailene Jazlan Kashfi dan turut hadir dalam menjayakannya ialah sukarelawan dari pasukan HAPPY.
Dalam ceramah, beliau turut berkongsi statistik terkini tempatan mengenai STI dan kehamilan remaja dengan mengongsikan umur dan jantina yang mendominasi statistik tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa angka-angka itu boleh dibendung dengan menerapkan pemantauan sebagai sebahagian daripada mencegah remaja daripada terlibat dalam sebarang tingkah laku berisiko yang membawa kepada jangkitan STI, hamil tanpa nikah atau perkahwinan awal.
Ke arah itu, Majlis BDAIDS berharap pelajar dapat membawa pulang mesej sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan menerapkan dalam gaya hidup harian mereka.



