Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Dengan hasrat untuk berkongsi ilmu pengetahuan asas kepada orang ramai Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menganjurkan Program Khidmat Akademik.
Program berkenaan merupakan salah satu aktiviti khidmat masyarakat tenaga akademik UNISSA dari segi perkongsian ilmu.
Ia merupakan aktiviti bulanan yang akan dikendalikan oleh Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Se-panjang Hayat (PKPSH).
Sesi pertama program berkenaan telah diadakan pada 28 November lalu dan disampaikan secara dalam talian oleh pensyarah di Fakulti Usuluddin, Dr Haji Ahmad Baha bin Haji Mokhtar yang memfokuskan kepada pengisian dalam memahami Tadabur Al-Quran khusus dalam ayat Ta’awudz dan Basmalah.
Antara objektif program berkenaan adalah agar orang ramai beroleh ilmu pengetahuan asas terhadap bidang ilmu yang disampaikan. Selain itu, tenaga akademik UNISSA juga dapat menjalankan tanggungjawab sosial di samping beroleh pengalaman menerusi khidmat akademik yang disampaikan.
