Oleh Syahmi Hassan
PROGRAM Khidmat Bakti Negara (PKBN) adalah sebuah aspirasi Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menjadi suatu keperluan bagi negara untuk melahirkan belia cemerlang.
Ianya selaras dengan matlamat Dasar Belia Negara untuk mewujudkan belia yang lebih bertanggungjawab dan berdisiplin. Mesyuarat antara Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan,Belia dan Sukan telah diadakan pada 1 Mac 2007 di Mess Pegawai, Pasukan Polis di Raja Brunei yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Majlis bersetuju supaya cadangan penubuhan PKBN akan menggabungkan idea-idea dari Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan hasrat supaya program itu bersifat ‘holistik’ iaitu merangkumi aspek-aspek kerohanian dan jasmani.
Pengambilan pertama Program PKBN dirasmikan pada 17 September 2014 di Perkampungan Sukan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah yang dijadikan kem latihan sementara program tersebut.
Di penghujung tahun lepas pada 24 November, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) melakar satu lagi detik bersejarah apabila bangunan kekal Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, Daerah Temburong diserahkan secara rasmi untuk digunakan sepenuhnya.



Kem Latihan PKBN itu yang akan menjadi satu mercu tanda bagi Daerah Temburong, mula dibina pada 24 Disember 2014 dibawah Rancangan Kemajuan Negara ke-10 (RKN-10).
Kem tersebut dibina berkonsepkan mesra alam dan mengandungi lima blok bangunan yang terdiri daripada Blok Pentadbiran, Blok Pusat Perubatan dan Asrama Pelatih Perempuan, Blok Asrama Staf Wanita dan Pelatih Lelaki.
Timbalan Komandan PKBN, Mejar Bersara Haji Ahmad Fairuz ketika ditemui Media Permata baru-baru ini semasa lawatan ke PKBN, di Daerah Temburong, menjelaskan bahawa memandangkan ianya adalah bangunan baru, semua kemudahan yang diperlukan adalah lengkap iaitu dari segi tempat tinggal yang selesa, mencukupi dan mampu menampung seramai 700 orang.
“Akan tetapi, buat masa ini, pelatih hanya 357 orang. Alhamdulillah bangunan ini mampu menampung kedua-dua pelatih lelaki dan pelatih perempuan”, jelas beliau.
Kemudahan yang kedua yang terdapat di Kompleks baru PKBN berkenaan, menurut beliau, ialah Dewan Gerak Badan yang mana ianya mampu menampung para pelatih untuk menjalani latihan di ruangan dalam (indoor).
Selain itu, ruangan bilik kuliah adalah sangat baik memandangkan keluasannya yang sangat luas. Manakala dewan makannya juga sangat memuaskan dari segi saiz dan keselesaannya dimana makanan-makanan dimasak secara terus (on the spot) dan segar di sana berbanding dengan yang sebelumnya.
Di samping itu, terdapat juga pusat perubatan yang sangat selesa, mempunyai tempat khas disediakan kepada pesakit dan juga tempat pemeriksaan kesihatan.
Timbalan Komandan PKBN menasihatkan kepada belia-belia yang belum mengikuti PKBN ini untuk tidak merasa takut atau segan mengikuti program berkenaan, tambahan lagi dengan adanya kemudahan-kemudahan terkini yang terdapat di bangunan baru PKBN.
“Sebenarnya tempat latihan ini adalah jauh dari kawasan bandar. Oleh yang demikian bagi belia-belia yang belum pernah mengikuti program ini, adalah disarankan untuk mengikutinya kerana program ini adalah yang terbaik.
“Ia boleh membantu para belia dalam hidup berdikari dengan sendirinya dan juga berdisiplin,” nasihat beliau.



Sepanjang program itu berlangsung pelbagai jenis aktiviti dijalankan antaranya aktiviti harian seperti aktiviti keagamaan peserta PKBN yang diadakan di surau mereka, latihan jasmani atau kawad yang dilakukan di setiap pagi hari.
Selain itu para pelatih juga menjalani latihan dan perlawanan merempuh halangan, mengadakan khidmat masyarakat seperti membersihkan kawasan rumah orang yang kurang berkemampuan, latihan senjata, dan juga kelas ceramah pelbagai topik yang disampaikan oleh pelbagai perwakilan seperti LiveWire, Jabatan Penjara, Polis Diraja Brunei dan banyak lagi.
Dayangku Rahalymatul Qomariah binti Abdul Rahman yang merupakan alumni PKBN dan juga pada masa ini merupakan jurulatih sukarelawan dalam bidang keugamaan telah mengongsikan serba sedikit mengenai kemajuan yang terdapat di PKBN berbanding sebelum ini.
Beliau merupakan bekas pelatih pengambilan kelima, iaitu pengambilan terakhir PKBN di bangunan lamanya di Perkampungan Sukan, Berakas.
Ketika ditemu bual Media Permata, beliau telah menjelaskan bahawa beliau sangat berpuas hati dengan apa yang terdapat di bangunan baru ini memandangkan bangunan berkenaan keseluruhannya adalah milik PKBN, dan mereka tidak perlu lagi untuk meminjam tempat atau kawasan bagi mereka belajar atau menjalani latihan.
“Kami tidak perlu lagi meminjam-minjam. Kalau para pelatih mahu belajar pun, kami boleh memakai kuliah milik kami sendiri dan tidak perlu lagi berjalan ke stadium untuk menjalani latihan.
“Dan satu lagi yang bagus terhadap kawasan ini adalah kawasannya yang boleh meningkatkan fokus kami. Maksudnya, pelatih tidak banyak yang keluar kawasan dibandingkan dengan di kawasan bandar, pelbagai alasan yang pelatih berikan untuk mengambil kesempatan bersuka ria,” jelas beliau.
“Di kawasan lama juga, kawasannya bagi saya adalah sempit, dan jurulatih pun terpaksa balik ke rumah. Akan tetapi dengan adanya bangunan baru ini, jurulatih ada disediakan bilik mereka sendiri yang dikhaskan,” tambah Dayangku Rahalymatul lagi.
Beliau juga turut mengongsikan kepada Media Permata akan kebaikan menjalani program berkenaan.
“Walaupun kami bukan anggota tentera yang sebenar, namun kami dilatih seperti anggota tentera. Kami juga digulung, tapi tidaklah hingga berdarah. Namun cara jurulatih kami dulu melayan kami membuatkan kami berubah.”
Beliau juga mengongsikan bahawa kesopanan, kesantunan dan disiplin beliau juga meningkat dengan ketara setelah menjalani program berkenaan.
“Pada masa ini, walaupun ketika bercakap dengan orang yang lebih tua, hendak memandang mata mereka pun bagi kami kurang sopan.”
Manakala salah seorang lagi alumni PKBN, Awang Muhammad Nasiruddin Hamzar bin Haji Aminuddin juga turut mengongsikan akan keselesaan yang terdapat di bangunan baru berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa keselesaan berkenaan tidak mereka perolehi sewaktu beliau menjalani program berkenaan pada tahun lepas di bangunan lama PKBN.
“Di bangunan baru ini, para pelatih dapat merasai bilik tidur yang mempunyai penghawa dingin, tandas yang dikhaskan, dibandingkan dengan sebelum ini dimana bilik tidurnya agak sempit dan tidak mempunyai penghawa dingin tetapi hanya menggunakan kipas.
“Memang sangat selesa pada masa ini berbanding di tempat lama,” jelas Awang Muhammad Nasiruddin.
Muhammad Nasiruddin juga menjelaskan bahawa sebenarnya program PKBN ini tidaklah begitu menyeksakan.
“Tidak semestinya dalam sehari itu para pelatih terpaksa berlatih dengan teruk. Ianya cuma wujud ketika ada terdapatnya kesalahan diri yang selalu ditegurkan namun masih juga melakukannya. Yang mana, memang patut untuk diberikan pengajaran supaya mereka ingat dan lebih berdisiplin.”
Selain itu, beliau juga mengongsikan serta memberikan nasihat kepada para belia yang belum mengikuti program PKBN bahawa program berkenaan adalah sangat baik untuk dilakukan bagi meningkatkan jati diri, ketahanan diri, dan juga mental para pelatih.
“Di sini, kita sendiri akan berada di tahap mental, kesabaran, jati diri dan ketahanan diri yang sebenar,” tambah Awang Muhammad Nasiruddin.