Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program KNK promosi produk dan pakej tempatan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah mengungkayahkan beberapa inisiatif bagi menarik lebih ramai orang Brunei untuk berbelanja di negara sendiri sekali gus untuk menarik lagi pelancong-pelancong asing ke negara kita dan salah satunya ialah menerusi penganjuran program Kenali Negara Kitani (KNK).

    Program KNK bertujuan bagi mempromosikan dan meningkatkan kesedaran kepada produk-produk dan pakej-pakej tempatan di negara ini.

    Penjelasan berkenaan telah dikongsikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin bagi menjawab persoalan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berhubung apakah usaha kerajaan untuk menarik masyarakat di negara ini dan juga warga pelancong untuk berbelanja dan mengadakan kunjungan di negara ini semasa berlangsungnya hari kelima Persidangan MMN ke-20 di Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

    Tambahnya lagi, KSSUP dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) turut mengungkayahkan Festival Disember Brunei termasuk Ekspo Produk Tempatan Brunei yang selama ini diadakan pada penghujung tahun semasa musim cuti persekolahan. Di samping KSSUP juga mengadakan Mid-Year Conference and Exhibition (MYCE) di mana ia dianjurkan pada pertengahan bulan Jun.

    Yang Berhormat Dato antaranya turut mengongsikan di akhir penjelasannya bahawa pada masa ini pihak KSSUP dengan kerjasama restoran-restoran dan hotel-hotel di negara ini mengadakan Festival Gastronomi Brunei (BGF) 2024. Di samping itu juga, pihak Kementerian Kewangan dan Ekonomi juga mengadakan Brunei Salebration (BSb) pada hujung tahun dan juga Festival PMKS Brunei 2024 yang dianjurkan di negara ini; semua itu semata-mata untuk menarik orang ramai berbelanja di negara sendiri di samping itu untuk mempromosikan produk-produk tempatan yang ada.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf menyatakan bahawa program KNK bertujuan bagi mempromosikan dan meningkatkan kesedaran kepada produk-produk dan pakej-pakej tempatan di negara ini. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    Gambar Canva

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda