Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program kongsi asas perubahan iklim

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Seramai 100 pelajar Tahun 9 dan 10 dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), hari ini, menyambut Hari Hijau Sekolah dengan mempelajari tentang punca, kesan dan penyelesaian perubahan iklim.

    STPRI merupakan sekolah keenam daripada 10 sekolah di Brunei yang ditaja Kolej Cosmopolitan selaku penaja platinum, untuk menyertai program berkenaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Cosmopolitan, Daniel Kumar berkata, kolej berkenaan melihat keperluan untuk meningkatkan dan menyokong usaha terhadap perubahan iklim kerana ia sejajar dengan nilainya untuk memupuk pemimpin masa depan Brunei.

    “Sepuluh sekolah yang dicalonkan untuk program ini merupakan sekolah di mana kebanyakan pelajar Cosmopolitan berasal. Oleh itu, adalah penting untuk menyokong sekolah tersebut,” tambahnya.

    Menurut kurator program itu, Curious Mind, matlamat Hari Hijau Sekolah adalah untuk membantu membangunkan generasi Brunei yang mampan dengan mendidik pelajar peringkat menengah, supaya mereka dapat menyebarkan berita tentang perubahan iklim kepada ahli keluarga mereka dan memimpin pelajar agar lebih peka dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

    Program berkenaan dikendalikan oleh Shaun Hoon selaku pengasas Curious Mind, bersama-sama Yasmin Jones dari Curious Mind yang memegang Ijazah Sarjana dalam Persekitaran dan Kemampanan dari Universiti Monash.

    Hari Hijau Sekolah diperakui dan disokong oleh Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Kementerian Pendidikan.

    Pelajar Tahun 9 dan 10 dari STPRI menyambut Hari Hijau Sekolah. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda