Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JAN – Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah hari ini mengadakan beberapa sesi Program Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Melalui Bimbingan Imam dan Makmum Dalam Keluarga yang berlangsung di masjid berkenaan.
Tujuan program itu diadakan adalah untuk mewujudkan perpaduan dan kesatuan keluarga dengan mendirikan solat secara berjemaah, di samping menerapkan kehidupan bermasyarakat iaitu makmum mempunyai kewajipan untuk mentaati imam sebagai pemimpin.
Program tersebut juga dihasrat untuk mengimarahkan masjid dengan majlis-majlis ilmu yang berkebajikan. Sehubungan itu, program tersebut diteruskan lagi dengan sesi kedua dengan tajuk Solat dan seterusnya Solat Berjemaah.
Program tersebut disertai oleh pegawai-pegawai dan kakitangan dari JHEM, Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah serta pegawai dan kakitangan jemputan dari sektor swasta.
Hadir selaku tenaga pengajar bagi sesi teori dan praktikal dalam program berkenaan ialah Ketua Bahagian Imarah, JHEM, Haji Fansuri @ Haji Mansur bin Mohamad Ali dan Awang Ahmad Suja’ie bin Begawan Mudim Haji Metassim; Tenaga-tenaga Pembimbing Kelas Bimbingan Muslimah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Dayang Rabiatul Adawiyah @ Nurul Mahfuzah binti Haji Mat Jali dan Dayang Nurul Janah binti Shahbudin.
Menurut kenyataan JHEM, solat berjemaah bermaksud solat yang didirikan lebih daripada seorang atau secara beramai-ramai dengan diketuai oleh seorang imam.
Ia merupakan sesuatu yang dituntut di dalam Islam sebagaimana Rasulullah SAW juga mengajar kita bahawa solat berjemaah itu boleh kita lakukan di rumah bersama orang-orang yang kita sayangi untuk meraih ganjaran pahala lebih.
Dengan adanya program tersebut, ia diharap akan dapat merealisasikan hasrat pelbagai pihak dalam menghidupkan solat berjemaah ke arah pembinaan ‘Keluargaku Harmoni’.