Sunday, March 9, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program lahir masyarakat cintakan Al-Quran

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Seramai 53 orang menghadiri Program Siri Tadabbur Al-Quran 8.0 anjuran Badan Sukarelawan Belia Daie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), petang tadi.

    Mereka yang hadir terdiri daripada para asatizah Negara Brunei Darussalam, pegawai-pegawai kerajaan, golongan pesara, para belia termasuk persatuan NGO, mahasiswa-mahasiswi universiti, alumni-alumni Akademi Dakwah dan juga orang persendirian.

    Program diadakan sebagai salah satu usaha para belia dalam menjalankan amar ma’ruf di Negara Brunei Darussalam di samping melahirkan lebih ramai masyarakat yang cintakan Al-Quran dengan menjadikan pembacaan dan tadabbur Al-Quran sebagai amalan sepanjang hayat bagi memperoleh keberkatan dan syafaat di akhirat kelak.

    Program yang membawakan tajuk Ujian Itu Nikmat petikan daripada Surah Al-Baqarah, ayat 155 itu disampaikan oleh Pegawai Ugama, PDI, Dayang Nur Hikmah binti Haji Idris.

    Antara pengisian tadabbur menekankan mengenai penerimaan ujian dalam hidup ini merupakan bentuk pengabdian (‘ubudiyah) kita kepada Allah SWT. Ini kerana kita semua milikNya dan Allah SWT sentiasa inginkan yang terbaik untuk hambaNya.

    Atur cara program termasuk sesi Bengkel Refleksi bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman orang awam terhadap ayat-ayat Al-Quran untuk dimanfaatkan sebagai amalan seharian oleh setiap muslim.

    Untuk bulan Ramadan Al-Mubarak ini, Program Siri Tadabbur Al-Quran 8.0 diadakan setiap hari Khamis, selama empat minggu bermula dari 6 hingga 27 Mac, jam 2:30 petang bertempat di Dewan Serba guna, PDI, Kampung Pulaie. Sementara rakaman program boleh diikuti di Instagram rasmi Belia Daie di @beliadaie.

    Orang ramai dialu-alukan mengikuti Program Siri Tadabbur Al-Quran 8.0 melalui Instagram rasmi selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai program-program yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

    Dayang Nur Hikmah menyampaikan program bertajuk Ujian Itu Nikmat. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    Antara yang hadir pada program tersebut. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda