Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Lakastah Bersedia bantu persiapan persaraan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Tabung Amanah Pekerja (TAP) meneruskan lagi Program Lakastah Bersedia untuk kali kedua bagi tahun ini, iaitu sebuah inisiatif perancangan persaraan komprehensif di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC).

    Program selama dua hari yang bermula pada 16 Oktober lalu bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan membuat persediaan awal sebelum menghadapi fasa persaraan, dengan meliputi aspek-aspek utama seperti penjagaan hubungan kekeluargaan dan sosial, penjagaan kesihatan, perancangan kewangan dan pengurusan harta.

    Golongan sasaran terdiri daripada individu yang dijangka bersara dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

    Bagi sesi kali ini, seramai 30 orang pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama pasangan masing-masing telah menyertai program tersebut.

    Melalui program ini, para peserta berpeluang mendapatkan pendedahan dan panduan praktikal daripada beberapa institusi jemputan. Selain daripada penyampaian mengenai perancangan kewangan dan persaraan oleh Unit Perkhidmatan Persaraan TAP, antara institusi yang turut terlibat ialah Brunei Darussalam Central Bank yang menekankan pentingnya mengenal pasti dan menghindari penipuan kewangan, Bahagian Khidmat Nasihat Keluarga yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan hubungan kekeluargaan dan sosial, Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang membincangkan aspek pengurusan harta waris sebelum dan selepas meninggal dunia mengikut hukum Syara’, Pusat Promosi Kesihatan yang mengetengahkan kepentingan penjagaan kesihatan sebelum dan semasa bersara, serta Cyber Security Brunei yang turut mengongsikan isu-isu keselamatan digital dan panduan praktikal bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

    Program ini turut menekankan kepentingan menetapkan matlamat pendapatan persaraan serta mengambil tindakan awal bagi mengekalkan gaya hidup yang selesa semasa bersara nanti. TAP juga menggalakkan ahli-ahli TAP untuk membuat caruman sukarela ke dalam Akaun Ahli SPK sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka.

    Dengan adanya Program Lakastah Bersedia ini, diharap akan dapat menjadi landasan awal kepada para peserta dalam membina kehidupan persaraan yang lebih terancang, selamat dan bermakna. Usaha seumpama ini akan diteruskan ke kementerian serta agensi lain pada masa akan datang.

    Bagi ahli-ahli TAP yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan boleh menghubungi Pusat Panggilan TAP di talian 272 2929 semasa waktu bekerja ataupun melalui emel di ask@tap.com.bn.

    Sesi bergambar ramai semasa program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN MTIC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda