Oleh Daniel Lim
BELAIT- 16 SEPT – Sekumpulan penunggang motosikal seramai 15 orang dari kelab motosikal di seluruh Daerah Belait menambah lebih pengetahuan tentang keselamatan jalan raya setelah menyertai Program Kesedaran Marshalling baru-baru ini.
Program yang dianjurkan oleh KB Bikerz Association dengan kerjasama Persatuan Motorsikal Darussalam (PEMODA) itu diadakan di Bilik Kasuari di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan penting tentang keselamatan jalan raya, penyelarasan menunggang kumpulan dan tanggungjawab sebagai marsyal di samping mengukuhkan lagi keselamatan, disiplin dan perpaduan dalam komuniti bermotosikal.
Persatuan itu merakamkan penghargaan mereka atas peluang untuk mengukuhkan kesedaran ini, sambil menambah bahawa latihan sebegini membentuk asas menjadi marsyal di jalan raya yang berdisiplin dan dihormati selain membentuk imej positif komuniti motosikal kepada orang ramai.
Persatuan Bikerz KB juga menyatakan bahawa sikap profesionalisme di jalan raya bermula dengan pengetahuan dan latihan yang betul dan dengan program yang diadakan adalah sejajar dengan visi mereka iaitu Keselamatan, Tanggungjawab, dan Kepimpinan dalam komuniti motosikal.


