Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Program latihan Amec Foster Wheeler bagi Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang disertai 120 orang pelajar telah menutup tirainya petang tadi dengan majlis penyampaian sijil yang diadakan di Dewan Kuliah, UTB.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Turut hadir ialah Naib Presiden Amec Foster Wheeler SE Asia Upstream, Donald N MacLeod yang juga merupakan pengarah projek Amec Foster Wheeler serta pegawai-pegawai dan kakitangan UTB.
Para peserta program latihan dua hari berkenaan adalah pelajar dari Fakulti Kejuruteraan, Sekolah Perniagaan dan Sekolah Pengkomputeran dan Maklumat UTB.
Projek berkenaan adalah untuk membantu jurang antara pengetahuan akademik dan pengetahuan perindustrian di peringkat universiti sambil memberi gambaran keseluruhan mengenai kemungkinan pilihan kerjaya apabila menamatkan pengajian.


Di samping itu, program berkenaan juga memberikan peluang bagi para peserta untuk berinteraksi bersama profesional pakar dan memberikan pendedahan terhadap amalan perindustrian kontemporari.
Dianjurkan bersama Amec Foster Wheeler dan UTB, program berkenaan menampilkan 10 orang pakar dari Amec Foster Wheeler dan ia merangkumi tajuk-tajuk mengenai kawalan projek, kewangan dan komersial, HSE, jaminan kualiti dan peningkatan dan sebagainya.
Penolong Naib Canselor (Industri dan Perkhidmatan) UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib dalam ucapannya menyatakan, ini merupakan kali ketiga UTB dan Amec Foster Wheeler mengadakan program berkenaan sebagai usaha berterusan untuk meningkatkan komponen tambah nilai pengajaran dan pembelajaran siswazah.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa latihan berkenaan akan memberikan maklumat penting mengenai dunia industri dan akan dapat membantu meningkatkan kontekstual pelajaran para peserta kerana UTB akan sentiasa memberikan peluang-peluang kepada para pelajarnya untuk mendapatkan pengetahuan industri dan pengalaman di luar pengajian kelas.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru agar para pelajar akan sentiasa aktif menyertai siri kuliah industri yang akan diadakan pada masa akan datang.