Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program latihan dalami tentang pembangunan kepimpinan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Delegasi seramai 30 yang mewakili 10 buah institusi dari tiga buah negara iaitu Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura mengambil bahagian dalam Program Pembangunan Kepimpinan (LDP) Brunei-Malaysia-Singapura ke-12.

    Program dijalankan secara maya selama lima hari bermula kelmarin hingga 26 November dengan tema ‘Menerajui Perkhidmatan Awam yang Berdaya Tahan dan Bersedia Masa Depan’.

    Majlis pembukaan program berkenaan kelmarin telah dihadiri oleh Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Dr Norfarizal bin Othman.

    Turut hadir ialah ketua-ketua institut perkhidmatan awam di ketiga-tiga negara yang menganjurkan bersama program berkenaan iaitu Pengarah Institut Perkhidmatan Awam (IPA) Brunei, Dr Hajah Noor Maya binti Haji Mohd Salleh; Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Malaysia, Dr Alauddin bin Sidal dan Dekan Kolej Perkhidmatan Awam (CSC) Singapura, Ong Toon Hui.

    Semasa berucap, Dr Hajah Noor Maya berkata, pandemik COVID-19 telah mengejutkan perkhidmatan awam untuk bertindak cepat dalam masa yang sama memberi respons terhadap permintaan dan kebimbangan berterusan rakyat.

    Antara yang menghadiri majlis program LDP ke-12 secara maya itu. – Gambar serahan IPA

    Ke arah ini, jelasnya, kita perlukan tenaga kerja yang mampu beroperasi dalam persekitaran yang semakin sukar dan ia adalah penting untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam supaya kekal berkesan, cekap dan bertanggungjawab.

    Oleh itu, untuk menggalakkan pembangunan perkhidmatan sistem penyampaian yang berkualiti tinggi pada masa hadapan, ia memerlukan perkhidmatan awam yang tangkas, antisipasi, berpaksikan manusia dan berdaya tahan.

    Dengan itu, tema program berkenaan adalah bertepatan pada masanya, jelasnya. Beliau seterusnya menambah, hasil daripada program empat hari itu diharapkan dapat memberi inspirasi dan pandangan ke arah memodenkan perkhidmatan awam melalui lebih baik dalam pengurusan perkhidmatan awam.

    Antara objektif lain program adalah untuk mengubah minda dan membangunkan kesediaan mental untuk masa depan selain memberi mereka peluang mengembangkan bakat dan kemahiran kepimpinan melalui penyertaan aktif.

    Menurut kenyataan IPA, tema program berkenaan memberi peluang kepada peserta dari ketiga-tiga buah negara untuk mempelajari bagaimana melahirkan pemimpin yang berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran dan krisis masa depan.

    LDP merupakan program tahunan sejak November 2009, namun disebabkan pandemik COVID-19, ia tidak dijalankan pada 2020. Ia memberi tumpuan kepada peluang bersama atau kerjasama untuk ketiga-tiga negara membincangkan mengenai tadbir urus dan isu dua hala sebagai persediaan menjadi pemimpin yang boleh memenuhi cabaran dan jangkaan masa depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda