Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JUN – SEAMEO VOCTECH dengan kerjasama Colombo Plan Staff College (CPSC) telah melancarkan program latihan perintis bertajuk Integrating Entrepreneurship and Technopreneurship into the TVET Curriculum di Pusat SEAMEO VOCTECH pagi tadi.
Program yang disertai seramai 31 pegawai kanan dari 11 negara anggota SEAMEO, termasuk penyertaan dari Bangladesh, Bhutan, Fiji, India, Maldives, Mongolia, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Haji Norjemee Jenek, dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah CPSC, Profesor Dr Suresh Kumar Dhameja serta warga SEAMEO VOCTECH.
Dalam ucapannya, Haji Norjemee menyatakan, “Kami berbesar hati menyambut 31 peserta dari negara-negara SEAMEO dan rantau Asia-Pasifik yang mewakili pelbagai institusi dan agensi TVET. Kami amat berbangga dan berbesar hati atas kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Buruh dan Pembangunan Kemahiran dari Maldives, Yang Berhormat Zidhna Waheed, yang turut menyertai program ini bersama para delegasi terhormat lain.

“Kami amat berbangga kerana dibimbing oleh barisan fasilitator yang cemerlang terdiri daripada Ketua Pengarah CPSC, Profesor Dr Suresh Kumar Dhameja; Pakar Fakulti Kanan CPSC, Profesor Dr Naeem Yaqoob; Pakar ICT, SEAMEO VOCTECH Dr Muhammad Ikhwan Jambak dan Pakar Pembangunan Kurikulum dan Pengurus Hal Ehwal Korporat, SEAMEO VOCTECH, Noorhayati Cynthia Noorhaizamdin,” ujarnya lagi.
Program intensif selama lapan hari berkenaan merangkumi pembelajaran secara hibrid iaitu bengkel dalam talian selama tiga hari dan diikuti sesi bersemuka selama lima hari bermula di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Brunei.
Semua di atas: Antara yang hadir ke majlis berkenaan.
Dirangka khas untuk pembangun kurikulum TVET, tenaga pengajar, pembuat dasar dan pentadbir, latihan ini bertujuan membekalkan peserta dengan strategi praktikal bagi mengintegrasikan konsep keusahawanan dalam pendidikan vokasional. Antara pengisian termasuk kaedah pengajaran inovatif, teknologi baharu, dan model inkubasi perniagaan bagi membentuk pemikiran keusahawanan dalam kalangan pelajar TVET.
Sebagai salah satu acara kemuncak, satu forum perbincangan separuh hari bertemakan Embedding Technopreneurship in TVET: Strategies, Success Stories, and Industry Insights akan diadakan pada 5 Jun nanti.
Forum berkenaan bakal menampilkan panel dari sektor pendidikan dan industri termasuk Profesor Dr Suresh Kumar Dhameja; Adna Shatriremie Hajj A. Abdul Rahman dari Entrepreneurship Innovation Centre (EIC), Kementerian Pendidikan serta wakil dari syarikat InnovAero dan Fatih Aquaculture bagi membahaskan perspektif mendalam dan pengalaman sebenar dalam memupuk budaya teknousahawan di institusi TVET.
Inisiatif tersebut selaras dengan keperluan semasa untuk sistem TVET bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, tetapi juga usahawan yang mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang pesat. Ia memperkukuh komitmen SEAMEO VOCTECH dalam mempertingkatkan kecemerlangan pendidikan vokasional di rantau Asia-Pasifik melalui kerjasama antarabangsa dan pembangunan kapasiti.
