Oleh Daniel Lim
BELAIT, 20 OGOS – Seramai 28 remaja perempuan berusia antara 15 hingga 19 tahun telah meraikan pencapaian mereka mengharungi cabaran dan menamatkan program LeadHer Camp selama empat hari tiga malam di majlis penutup yang diadakan di Jabatan Belia dan Sukan Daerah Belait, Jalan Maulana, Kuala Belait baru-baru ini.
LeadHer Camp dianjurkan sebagai inisiatif Generasi Bekarih dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Daerah Belait, bersempena dengan Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-20 tahun ini, di bawah gerakan Next20 Movement.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Cawangan Tutong, Jabatan Belia dan Sukan, Dayang Amhra Farahiyah binti Haji Mohd Hamdilah.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Amhra Farahiyah mengucapkan tahniah kepada para peserta kerana berjaya menamatkan LeadHer Camp, dengan harapan kem tersebut dapat membantu membina perkembangan diri, kemahiran kepimpinan serta kemahiran hidup seperti Asas Bertahan, komunikasi, pertahanan diri dan lain-lain.
“Sebagai bakal pemimpin, saya berharap kem ini telah memberikan awda kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memimpin perubahan serta menyumbang kepada kemajuan negara ke arah Wawasan 2035,” ujar beliau.

Program itu diadakan bertujuan untuk melahirkan pemimpin wanita dengan memperkasakan mereka serta melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan kepimpinan yang diperlukan untuk pertumbuhan dan pembangunan.
Antara pengisian program termasuk bengkel interaktif, sesi dan aktiviti bertemakan penerokaan diri, kepimpinan, penetapan matlamat, pengurusan kesihatan mental, literasi digital dan kewangan, seni dan budaya, serta kesukarelawanan.
Memetik temu bual bersama salah seorang peserta kem tersebut, Beverley Goh Jia Jia turut berkongsi bagaimana beliau memperoleh kemahiran kepimpinan yang penting.
“Ini adalah kali pertama saya menyertai kem seperti ini, di mana saya belajar lebih banyak tentang kemahiran kepimpinan, khususnya bersama mereka yang tidak saya kenali dan menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk mengatasi cabaran sepanjang kem ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Dayang Nurhidayah Dhaniyah binti Rahimi, berkata walaupun ini merupakan kali kedua beliau mengikuti kem seumpama itu, namun beliau tetap bersyukur dengan pengalaman yang diperolehi sepanjang mengikuti kem tersebut.
“Ini merupakan kali kedua saya menyertai kem seperti ini kerana saya suka berada di persekitaran dekat dengan alam semula jadi. Melalui kem ini, saya belajar untuk lebih berdisiplin dan bekerjasama dengan peserta lain untuk mencapai matlamat bersama,” ujarnya.
Bagi memperingati pencapaian para peserta, Dayang Amhra Farahiyah telah menyampaikan sijil kepada wakil peserta dan juga kepada para penaja dan penyokong kem tersebut.



