Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Seramai 28 orang peserta yang terdiri daripada belia mukim dan kampung dari Daerah Tutong yang sedang menjalani cuti penggal persekolahan menyertai dan menerima sijil penyertaan bagi rogram Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Tutong yang menutup tirai pada majlis penutup di Dewan Citra, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, di sini, menyatakan majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

Hari kedua program dimulakan dengan siri taklimat yang disampaikan oleh beberapa buah agensi kerajaan di mana antara taklimat yang disampaikan ialah Penggunaan Teknologi AI yang Selamat dan Bertanggungjawab oleh Jurulatih Kesedaran Keselamatan Siber, Cyber Security Brunei, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Dayang Izuana binti Ayob, taklimat mengenai Usaha dalam Menangani Isu Pengangguran di Negara Brunei Darussalam oleh Penolong Pegawai Projek Tingkat I, Pusat Pekerjaan Brunei, Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammad Asyraf bin Haji Arine serta taklimat bertajuk Mengukuh dan Mantapkan Akidah Golongan Belia, yang disampaikan oleh Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Siti Juhaidah binti Haji Bujang.
Sementara itu, pada sebelah petang, para peserta turut didedahkan dengan taklimat bertajuk, Berita Palsu, Jenayah Siber dan Scammer, yang disampaikan oleh Kpl 4747 Syalihen bin Haji Ludin, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri yang menekankan bahaya ancaman siber bagi golongan belia, termasuk praktik buli siber, penipuan dalam talian serta kepentingan melindungi maklumat peribadi.
Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan seluruh negara dan seluruh kerajaan yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.





