BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Seramai 45 orang belia terdiri daripada para penuntut IBTE Kampus Sultan Bolkiah, Seria, dan IBTE Kampus Jefri Bolkiah, Kuala Belait menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Belait yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.
Hari terakhir program pada sebelah pagi dimulakan dengan taklimat bertajuk Career Talk on Royal Brunei Airlines daripada Syarikat Penerbangan Diraja Brunei Sdn Bhd yang antara lain menyentuh mengenai peluang pekerjaan di syarikat tersebut.
Pada sebelah petang pula, para peserta mendengarkan taklimat mengenai Tatacara Menggunakan PSCR 2.0 yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, yang menyentuh mengenai tatacara menggunakan PSC Recruitment 2.0 yang merupakan kemudahan dalam talian untuk para pencari kerja di sektor kerajaan.
Para peserta program juga berpeluang mengadakan lawatan ke Galeri Lentera Makmur, Jabatan Penerangan.
Ia adalah sebagai nilai tambah kepada platform penyebaran maklumat yang sedia ada sejajar dengan objektif asal penubuhan Jabatan Penerangan pada 1 April 1952 untuk menyalurkan maklumat dasar dan aktiviti kerajaan agar kekal relevan dan masih ditanai secara berterusan dalam membarigakan maklumat, dasar dan aktiviti kerajaan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan kepada seluruh lapisan masyarakat tidak mengira di bandar atau pedalaman dalam usahanya untuk membudayakan masyarakat bermaklumat.
Para peserta kemudiannya dibawa melawat ke Bahagian Pelita Brunei, akhbar rasmi kerajaan yang mula diterbitkan pada 15 Februari 1956 untuk menyampaikan maklumat mengenai rancangan dan matlamat pembangunan negara, dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dengan kehidupan rakyat sejagat, pengumuman-pengumuman penting serta apa jua perubahan yang berhubung kait dengan kepentingan negara dan orang ramai.
Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan
jayanya.