Saturday, July 6, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Program literasi tingkatkan kesedaran belia

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Sebagai salah satu landasan dalam menyampaikan maklumat rasmi dan maksud kerajaan dalam kalangan belia, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait menganjurkan Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Belait selama dua hari bermula pada 3 hingga 4 Julai bertempat di Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama, Berakas.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan program hari ini  ialah Pegawai Penerangan Kanan, Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah.
     
    Program itu disertai oleh 45 orang peserta yang terdiri daripada Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah Kuala Belait dan IBTE Kampus Sultan Bolkiah Seria.
     
    Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Fathi Foad menyatakan bahawa Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.
     
    Beliau menambah program itu juga dihasrat dapat meningkatkan kesedaran para peserta tentang betapa pentingnya peranan belia dalam membangunkan negara, memupuk kerjasama dan perhubungan erat di antara belia dan peringkat akar umbi serta memahami maksud inklusiviti selain memberikan pendedahan kepada golongan belia mengenai Dasar Belia 2020-2035.
     
    Haji Fathi Foad bergambar ramai bersama para peserta Program. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    ATAS & BAWAH: Para peserta berkunjung ke tujuh galeri yang berfungsi sebagai tarikan Brunei, iaitu Galeri Tenunan, Galeri Perak, Galeri Seni Ukir, Keris dan Tasbih, Galeri Seni Batik, Galeri Songkok, Galeri Anyaman serta Galeri Tembaga. – GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN
    Sepanjang program, para peserta program didedahkan dengan pelbagai maklumat semasa termasuk memahami konsep keterangkuman melalui pengisian taklimat, aktiviti dan lawatan yang diaturkan.
     
    Atur cara program hari pertama dimulakan dengan lawatan ke Centre of Excellence and Empowerment Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bangunan Persatuan Guru-guru Melayu Brunei, di mana para peserta berpeluang mendengarkan taklimat mengenai peranan BIBD dalam pembangunan kapasiti dan masyarakat.
     
    Pihak BIBD menyampaikan dua taklimat, 30 Years of Islamic Banking – Building a Legacy, Shaping the Future yang disampaikan oleh Pegawai Korporat Komunikasi BIBD, Dayang Adina Hazri binti Haji Azahari.
     
    Taklimat kedua, BIBD Special Projects & Collaborations – Government Relations and Special Projects Division disampaikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Perhubungan Strategik, Pengiran Rodzi binti Pengiran Haji Abdul Rahman dan Ketua Perhubungan Kerajaan, Bahagian Projek Khas, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah.
     
    Pada sebelah petang pula, para peserta mendengarkan taklimat mengenai latarbelakang dan peranan Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Hajah Zureena binti Abdullah.
     
    Di samping itu, para peserta juga berkunjung ke tujuh galeri yang berfungsi sebagai tarikan Brunei, iaitu Galeri Tenunan, Galeri Perak, Galeri Seni Ukir, Keris dan Tasbih, Galeri Seni Batik, Galeri Songkok, Galeri Anyaman serta Galeri Tembaga.
     
      Mereka berpeluang melihat lebih dekat bahan pameran dan juga galeri pusat tersebut untuk meninjau bengkel tradisional yang memaparkan aktiviti menenun kain, menganyam, pertukangan perak, pertukangan tembaga, pembuatan keris, tasbih, seni ukiran dan songkok, di samping pendedahan mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di pusat latihan tersebut.
     
    Jabatan Penerangan dalam merealisasikan visinya, Membudayakan Masyarakat Bermaklumat sentiasa mempelbagaikan platform pembarigaan maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan serta terus berusaha untuk menyebarkan maklumat seluas yang mungkin dan sentiasa dikemas kini agar tetap relevan dan memenuhi keperluan dari semasa ke semasa.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...