BEIJING – Ketika Deng Fei sebagai seorang wartawan penyiasatan, dia akan meneka usia kanak-kanak yang dia jumpai di beberapa perkampungan. Dia begitu terkejut melihat kanak-kanak yang kelihatan berusia tujuh atau lapan tahun sebenarnya berusia 12 atau 13 tahun.
Kanak-kanak di sebahagian perkampungan terpaksa menghadapi kelaparan kerana keluarga-keluarga mereka terlalu miskin untuk membiayai makan tengah hari.
“Ia sangat mengejutkan saya,” kata Deng. “Mereka berkata tiada istilah makan tengah hari buat mereka. Mengapa tidak kita menjadikannya realiti?”
Pada bulan April 2011, dengan bantuan 500 wartawan, peguam, ahli profesional, pegawai-pegawai dan sukarelawan Cina, Deng memulakan Makan Tengah Hari Percuma buat Kanak-Kanak (FLC), sebuah inisiatif awam pertama yang menawarkan makanan percuma kepada pelajar-pelajar di kawasan terpencil dan miskin.
Sepanjang enam tahun yang lalu, ia telah berjaya mengumpulkan 270 juta yuan (AS$39 juta) dan memberi makan kepada 190,000 pelajar sehari di 738 buah sekolah.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M2-E-_061117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M2-C-_061117.jpg)
FLC telah memberi inspirasi kepada rancangan kerajaan. Sejak tahun 2011, kerajaan pusat telah memperuntukkan lebih daripada 16 bilion yuan untuk memberi makan kepada pelajar-pelajar miskin di kawasan luar bandar sejak tahun pertama mereka di sekolah.
Deng merasa gembira apabila dapat melihat lebih ramai kanak-kanak mendapatkan makan tengah hari mereka secara percuma, tetapi dia berkata kanak-kanak miskin masih terjerat dalam kemiskinan.
Kebanyakan ibu bapa luar bandar pergi ke bandar untuk mencari pendapatan harian mereka, meninggalkan anak-anak mereka bersama dengan datuk nenek mereka. Tidak ada rawatan khusus apabila mereka ini sakit.
“Walaupun keluarga-keluarga ini berada dalam keadaan baik, penyakit yang serius boleh saja membawa mereka ke lembah kemiskinan,” kata Deng. “Sebab itulah kami memperkenalkan program insurans penyakit kritikal komersial untuk kanak-kanak luar bandar.”
Program insurans penyakit kritikal nasional dan insurans komersial berjalan seiring, dengan kerajaan, keluarga dan badan amal yang menyumbang. Xiong Min, Timbalan Datuk Bandar Dearah Hefen di Wilayah Hubei, berkata program itu telah membantu lebih daripada 400 keluarga di hanya sebuah daerah sejak tahun 2012.
Pasukan Deng sedang melakukan program-program amal praktikal yang lain. Di satu kumpulan menyediakan keperluan harian dan pembelajaran pelajar-pelajar miskin; satu kumpulan mengajar kanak-kanak luar bandar tentang keselamatan diri; satu kumpulan membina asrama bergerak untuk pelajar-pelajar luar bandar yang perlu berjalan jauh ke sekolah; satu kumpulan merekrut keluarga-keluarga bandar untuk membantu kanak-kanak yatim atau kanak-kanak yang dipinggirkan yang berada di kawasan pedalaman; dan satu kumpulan membantu penduduk-penduduk kampung menjualkan hasil perladangan mereka bagi meningkatkan pendapatan mereka agar mereka dapat tinggal dan meluangkan masa bersama anak-anak mereka di rumah.
Pengkritik mengatakan bahawa masalah kemiskinan luar bandar China adalah terlalu besar untuk diselesaikan melalui mikro-kedermawanan, tetapi Deng berkata programnya mempunyai peranan dalam membentuk dasar kerajaan.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M2-A-_061117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M2-B_061117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M2-D-_061117.jpg)
“Amal kebajikan tidak boleh dan tidak akan menggantikan kerajaan. Tetapi selagi kerajaan, perusahaan dan badan amal berganding bahu, model memberi kuasa sosial akan dibina. Kami telah berjaya di Xinhuang dan Hefeng, dan kami percaya program-program ini dapat berakar umbi di kawasan-kawasan miskin yang lain,” kata Deng.
Apabila lebih ramai kanak-kanak Cina dibebaskan dari kelaparan, Deng juga telah menumpukan perhatiannya kepada Afrika di mana beribu-ribu kanak-kanak tidak mempunyai sarapan atau makan tengah hari dan terbantut dari malnutrisi.
Pada September 2016, Deng memutuskan untuk membawa model FLCnya ke Afrika dan melakukannya bersama dengan bantuan dua penubuhan lain pada tahun depan.
Sejak bulan Mac, kempen tersebut telah berkhidmat kepada hampir 1,200 kanak-kanak di enam buah sekolah rendah bantuan di kawasan miskin Mathere di Nairobi, Kenya. Kawasan itu adalah rumah kepada kira-kira 700,000 orang, separuh daripada mereka adalah kanak-kanak yang hidup dengan pemakanan sekali sehari sahaja.
“Sekolah tidak menjadi keutamaan bagi mereka jika mereka pun tidak mampu membiayai makanan mereka. Anak-anak mereka boleh dikeluarkan dari sekolah pada bila-bila masa sahaja,” kata Yin Binbin, ketua pasukan FLC Afrika dan pengasas Dream Building Service Association, sebuah NGO yang berpangkalan di Kenya.
Dengan permulaan 1 juta yuan dari Pearl Humanitarian Rescue Institution yang berpangkalan di Beijing, kempen itu telah menubuhkan yayasannya sendiri di AS dan mula menubuhkan tabung dana di AS dan Eropah untuk membantu menyokong projek luar negara itu.
Kebanyakan negara-negara Afrika telah menyokong kempen itu, dan berjanji untuk membantu memantau keselamatan dan kewangan pemakanan. FLC sedang berunding dengan sekolah-sekolah dari pelbagai negara dan merancang untuk membawa makan tengah hari percuma ke 10 buah negara, termasuk Uganda dan Ethiopia, menjelang akhir tahun ini.
“Apabila FLC ditubuhkan di sini, kami mencadangkan untuk mengadakan program lain seperti insurans penyakit kritikal komersil agar diguna pakai,” kata Deng. “Kami berharap usaha-usaha kami di China juga akan memberi sinar harapan kepada apa yang dihadapi oleh Afrika seperti kelaparan dan kesihatan awam.” – Xinhua