JAKARTA, 6 JAN – Indonesia melancarkan program makanan percuma bernilai AS$4.3 bilion hari ini untuk menangani masalah pertumbuhan terbantut akibat kekurangan zat makanan, salah satu janji utama Presiden Prabowo Subianto semasa pilihan raya.
Prabowo telah berjanji untuk menyediakan makanan berkhasiat secara percuma kepada puluhan juta kanak-kanak sekolah dan wanita hamil, dengan mengatakan ia akan meningkatkan kualiti hidup mereka dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Ini adalah sejarah bagi Indonesia kerana buat pertama kali melaksanakan program pemakanan nasional untuk kanak-kanak kecil, pelajar, ibu hamil dan ibu menyusu,” kata jurucakap presiden, Hasan Nasbi, pada malam Ahad.
Sekitar 190 dapur yang dikendalikan oleh perkhidmatan katering telah dibuka di seluruh negara, termasuk beberapa yang diuruskan oleh pangkalan tentera dan sibuk menyediakan makanan sejak tengah malam untuk diagihkan kepada kanak-kanak sekolah dan wanita hamil.
Murid darjah dua, Khalifa Eldrian, tersenyum lebar selepas menghabiskan makan tengah hari percuma berupa nasi, ayam, sayur-sayuran dan pisang di sebuah sekolah rendah di Jakarta Timur.
“Saya gembira kerana makanannya sedap… Saya boleh lebih fokus semasa belajar,” katanya kepada AFP.
Kerajaan telah memperuntukkan 10,000 rupiah (AS$0.62 sen) untuk setiap hidangan dan menyediakan bajet sebanyak 71 trilion rupiah (AS$4.3 bilion) untuk tahun kewangan 2025. Ia dijangka menyampaikan makanan kepada hampir 83 juta orang menjelang 2029.
Masalah pembantutan menjejaskan 21.5 peratus kanak-kanak di negara kepulauan yang mempunyai kira-kira 282 juta penduduk ini. Indonesia menyasarkan untuk mengurangkan kadar tersebut kepada 5 peratus menjelang 2045.
Kakitangan di sebuah dapur di Bogor, Jawa Barat, bekerja tanpa henti sejak selepas tengah malam.
“Kami menyediakan menu berbeza setiap hari, ia perlu berbeza supaya kanak-kanak tidak bosan,” kata Ayu Pertiwi, salah seorang kakitangan, kepada AFP.
Ayu berkata mereka masih dapat menyediakan makanan yang agak berkhasiat seperti telur dan ikan walaupun dengan bajet terhad, manakala daging mungkin hanya dihidangkan dua kali sebulan. – AFP