Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program makanan percuma Indonesia dihambat krisis

    JAKARTA – Apabila seorang ibu warga Indonesia menghantar anak perempuannya ke sekolah pada Mei, dia tidak menyangka anaknya sakit teruk selepas makan tengah hari daripada program makanan percuma baharu bernilai berbilion-bilion dolar yang dilancarkan kerajaan.

    “Anak perempuan saya mengalami sakit perut, cirit-birit dan sakit kepala,” kata wanita itu kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan mengenai kejadian yang berlaku di bandar Jawa, Bandung.

    “Dia juga tidak berhenti muntah sehingga pukul tiga pagi.”

    Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memperkenalkan skim populis itu sebagai penyelesaian kepada kadar pembesaran terbantut yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak, ketika beliau melakar kejayaan besar dalam pilihan raya tahun lepas.

    Tetapi pelancarannya sejak Januari telah dihambat oleh krisis demi krisis, termasuk tuduhan nepotisme, penangguhan pembiayaan, bantahan dan keracunan makanan yang berterusan.

    Kanak-kanak sekolah memakan makanan yang disediakan program makanan percuma kerajaan di sebuah kelas di Jakarta. – AFP
    Kakitangan daripada unit perkhidmatan nutrisi menyediakan makanan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di Jakarta. – AFP
    Pekerja memasak makanan untuk program makanan percuma di Jakarta. – AFP
    Kanak-kanak sekolah rendah menunggu makanan yang disediakan program makanan percuma kerajaan di sebuah bilik darjah di Jakarta. – AFP
    Guru sekolah mengagihkan pek makanan yang disediakan oleh program makanan percuma kerajaan di Jakarta. – AFP

    Ia dijangka mencecah sejumlah 17.5 juta kanak-kanak tahun ini dengan nilai AS$4.3 bilion.

    Namun setakat ini ia hanya memberi manfaat kepada lima juta pelajar di seluruh negara dari Januari hingga pertengahan Jun, menurut Kementerian Kewangan.

    Isu keracunan bukan sahaja menjejas sekolah perempuan itu – lima sekolah yang lain melaporkan kejadian serupa.

    Tetapi Prabowo telah memuji jumlah penyakit sebagai sesuatu positif.

    “Memang ada keracunan hari ini, kira-kira 200 orang daripada tiga juta,” katanya pada Mei.

    “Lebih lima pelajar dimasukkan ke hospital, jadi ini bermakna kadar kejayaan adalah 99.99 peratus. Kadar kejayaan 99.99 peratus dalam mana-mana bidang adalah perkara yang baik.”

    DASAR TERGESA-GESA

    Program bantuan berskala besar di Indonesia mempunyai sejarah dakwaan rasuah di peringkat serantau dan nasional.

    Pakar berkata program ini mudah terdedah kepada risiko, tanpa akauntabiliti.

    “Bajet yang besar bermakna kemungkinan berlaku rasuah terbuka luas, dan dengan pemantauan yang lemah, rasuah boleh berlaku,” kata Egi Primayogha, seorang penyelidik di Badan Pemantau Rasuah Indonesia.

    “Sejak awal, program ini dilancarkan secara tergesa-gesa, tanpa sebarang perancangan yang baik. Tidak adanya ketelusan.”

    Program itu dilancarkan sejurus selepas Prabowo memegang jawatan pada Oktober dan majalah penyiasatan tempatan Tempo melaporkan ‘beberapa rakan kongsi dilantik’ adalah penyokong Prabowo dalam pilihan raya.

    Agus Pambagio, pakar dasar awam yang berpangkalan di Jakarta, berkata Prabowo menyegerakan rancangan itu, dengan pengkritik mengatakan tidak adanya perundingan awam.

    “Jepun dan India telah melakukannya selama beberapa dekad. Jika kita mahu melakukannya seperti mereka dalam tempoh beberapa bulan, ia bagai bunuh diri,” katanya. “Kita tidak boleh membiarkan kematian berlaku.”

    Matlamat pelan itu adalah untuk memerangi masalah pembesaran terbantut, yang menjejaskan lebih 20 peratus kanak-kanak negara, dan mengurangkan kadar itu kepada lima peratus menjelang 2045.

    Pentadbiran Prabowo telah memperuntukkan AS$0.62 setiap hidangan dan pada mulanya menetapkan bajet sebanyak 71 trilion rupiah (AS$4.3 bilion) untuk tahun ini.

    Namun pihak berkuasa telah dituduh bahawa program itu mengalami kelewatan dan kurang pembiayaan.

    Sebuah perniagaan katering di Jakarta terpaksa ditutup buat sementara waktu pada Mac kerana kerajaan tidak membayar hutang berjumlah AS$60,000. Kes itu menjadi tular dan akhirnya ia berjaya mendapat kembali wangnya.

    MENIMBULKAN RISIKO

    Kerajaan mengumumkan peningkatan belanjawan AS$6.2 bilion baru-baru ini tetapi mengurangkan kepada separuh apabila masalah semakin meningkat dalam usaha bercita-cita tinggi untuk menghantar makanan kepada hampir 83 juta pelajar menjelang 2029.

    Pemotongan meluas untuk membiayai bajet besar program itu juga mencetuskan protes di seluruh bandar Indonesia pada Februari.

    Namun ada yang mengatakan program itu telah memberi manfaat kepada anak mereka.

    “Ia agak membantu. Saya masih memberi anak saya wang saku, tetapi memandangkan dia mendapat makan tengah hari percuma, dia boleh menjimatkan wang itu,” beritahu Reni Parlina, 46, kepada AFP.

    Bagaimanapun, tinjauan Mei oleh institut penyelidikan Populix mendapati lebih 83 peratus daripada 4,000 responden berpendapat dasar itu perlu dikaji semula.

    “Jika perlu, program itu perlu digantung sehingga penilaian menyeluruh dijalankan,” kata Egi.

    Agensi Pemakanan Kebangsaan, yang ditugaskan untuk mengawasi pengagihan makanan percuma, tidak membalas permintaan AFP untuk mendapatkan komen.

    Agensi itu berkata ia akan menilai skim itu dan telah melatih beribu-ribu kakitangan dapur.

    Rakan kongsi dapur mengatakan mereka juga mengambil langkah berjaga-jaga tambahan.

    “Kami sentiasa mengingatkan ahli kami untuk mematuhi protokol keselamatan makanan,” kata Sam Hartoto dari Persatuan Pengusaha Katering Indonesia, yang mempunyai 100 ahli yang bekerja dengan kerajaan.

    Sementara mereka berusaha untuk memberi jaminan, kemelut itu telah memberi kerisauan ibu bapa yang meragui kerajaan Prabowo dapat melaksanakannya.

    “Saya rasa program ini tidak berguna. Ia mendatangkan lebih banyak risiko daripada manfaat,” kata ibu kepada gadis yang sakit itu. “Saya tidak fikir program ini dikendalikan dengan baik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda