Sunday, October 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program makmur masjid diadakan sempena sambutan Hari Guru

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Demi menggalakkan orang ramai memakmurkan sembahyang Subuh secara berjemaah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Bahagian Kemajuan Syiar Islam dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien mengungkayahkan Program Masjidku Makmur, Negara Berkat awal pagi tadi.

    Program yang berlangsung di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien,  itu juga diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Ke-34 melalui tazkirah bertajuk Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong, PDI, Awang Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid sejurus selepas sembahyang.

    Awang Muhammad Syahirul menyampaikan tazkirah.

    Program berkenaan juga memberikan peluang dan kemudahan kepada orang ramai dengan meraih keberkatan memakmurkan rumah Allah, menunaikan tuntutan sembahyang secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid, sebelum mereka memulakan langkah dan keceriaan hari untuk aktiviti beriadah mahupun bersukan.

    Turut serta bagi menyertai program berkenaan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim berserta dengan timbalan-timbalan setiausaha tetap KHEU dan Kementerian Pendidikan serta ketua-ketua jabatan, para pegawai dan juga guru-guru dari institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan dan KHEU.

    Haji Mohammad Rosli semasa menghadiri program berkenaan.
    Antara yang hadir semasa program berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda