Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program masjid seBorneo terus kukuhkan silaturahim serantau

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Program Talian Kasih: Masjid-Masjid Seborneo anjuran Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah terus memperkukuh jaringan kerjasama antara masjid di dalam dan luar negara, khususnya di rantau Borneo.

    Program berkenaan melibatkan penyertaan Ahli Jawatankuasa Takmir serta pegawai-pegawai masjid dari Negara Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak, Malaysia. Ia dilaksanakan secara dwibulanan melalui persidangan video dalam talian sebagai usaha memperkukuh ukhuwah Islamiah, menyemai nilai-nilai murni dan membentuk masyarakat berilmu serta berakhlak mulia.

    Hadir ke sesi berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.

    YB Awang Zainol menyertai program berkenaan.

    Turut hadir, Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Penasihat Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kolonel (B) Pengiran Dato Paduka Haji Azmansham bin Pengiran Haji Mohamad; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Information Centre, Tazudin Mohtar; Pengerusi Masjid India, Kuching, Mohideen Abdul Kader; ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah serta wakil-wakil masjid dari Sarawak.

    Sejak mula dilaksanakan pada bulan Februari di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, program tersebut turut diteruskan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah pada bulan April dan di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit pada bulan Julai. Bagi edisi kali ini, sesi Talian Kasih berlangsung di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah di Kampung Sungai Akar.

    Objektif utama program adalah untuk mengeratkan silaturahim dan membina sokongan berterusan antara masjid-masjid serantau, selain memupuk hubungan kukuh yang dapat dimanfaatkan melalui kerjasama dan pelaksanaan projek bersama pada masa akan datang.

    Program ini turut menjadi platform perkongsian maklumat dan ilmu secara berkala serta diharap dapat memperkukuh jaringan kerjasama dalam usaha mempromosikan pelancongan Islam atau Islamic Tourism bersama negara-negara di rantau Seborneo, di samping menjadi wadah wacana ilmiah yang merapatkan hubungan persahabatan antara Brunei dan negara-negara jemputan.

    Atas & Bawah: Antara yang menyertai program secara dalam talian.
     GAMBAR-GAMBAR SERAHAN KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda