Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Masjid Tour sebagai kaedah dakwah

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Program Masjid Tour Kali Ke-3 bagi Tahun 1446H/2024M diadakan pagi tadi di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan anjuran Belia Muallaf As-Syahadah dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah melalui Urus Setia Program Keugamaan Belia dan Bahagian Pengembangan Dakwah (Dakwah Khas) dengan sokongan Jabatan Hal Ehwal Masjid dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Hadir selaku tetamu kehormat Majlis ialah Dr. Awang Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Yang Di-Pertua Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR).

    Acara dimulakan dengan perasmian Masjid Tour oleh tetamu kehormat majlis dengan menandatangani signage dan seterusnya lawatan ke ruang utama solat, tempat berwudhu, sekitar kawasan masjid dan bahtera sebelum ke petak-petak aktiviti yang telah disediakan. Manakala jurupandu bagi Masjid Tour ini terdiri daripada ahli-ahli Belia Muallaf As-Syahadah.

    Dr. Awang Haji Mohd Rozan melancarkan Masjid Tour Kali Ke-3 Belia Muallaf As-Syahadah.

    Antara objektif program ini ialah untuk mendalamkan dakwah serta menzahirkan corak kehidupan Islam di Negara Brunei Darussalam terutama kepada golongan masyarakat bukan Islam. Di samping memberi peluang kepada mereka yang berkunjung untuk meninjau sendiri masjid secara dekat, mengenali ibadah-ibadah yang dilakukan oleh orang lslam, serta memberi peluang kepada pelancong untuk bertanya berkenaan masjid dan serta persoalan yang berkaitan.

    Dr. Awang Haji Mohd Rozan ketika menyaksikan pameran yang disediakan.

    Selain itu program juga bertujuan untuk membetulkan kesalah fahaman yang mungkin timbul, ianya juga dapat menyuntik semangat para belia supaya berani tampil bagi menyampaikan maklumat tentang masjid dengan cara yang menarik dan tepat.

    Program Masjid Tour adalah program muhibbah kepada para pelancong terutama yang bukan Islam. Program ini juga merupakan kaedah dakwah dan produk pelancongan di negara ini dengan beberapa buah masjid berpotensi menjadi tempat tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Antara masjid yang terlibat ialah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan dan Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Antara pameran yang diadakan dalam program berkenaan. – GAMBAR – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda