Monday, March 31, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program memahami kalam Allah

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    TUTONG, 27 MAC – Seramai 41 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong, ahli Persatuan Saudara-saudara Baharu Daerah Tutong (PESATU) dan pelajar-pelajar Kelas Bimbingan Mualaf di Daerah Tutong telah menyertai Program Ihya’ul Quran anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), melalui Unit Dakwah Daerah Tutong, pagi tadi.

    Antara yang hadir pada majlis itu ialah Ketua Unit Khidmat Nasihat Keluarga, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, Haji Razali bin Haji Mahal dan Pemangku Ketua Unit Dakwah Daerah Tutong, Dayang Nurhuwaina binti Mamud.

    Program dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh pelajar Latihan Industri, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Pejabat Unit Dakwah Tutong, Awang Muhd Hafizul Haziq bin Mohd Shahrin.

    Kemudian, program diteruskan dengan bengkel bagi sesi pertama bertajuk Teori Makhraj Al-Quran yang disampaikan oleh pelajar-pelajar Latihan Industri, ITQSHHB, Pejabat Unit Dakwah Tutong terdiri daripada Awang Muhammad Danial Iman bin Zainudin, Awang Muhammad Hafizul Haziq bin Muhammad Shahrin dan Awang Muhammad Nur Safwan bin Awang Asli.

    Manakala bengkel bagi sesi kedua berjudul Praktikal Makhraj Al-Quran disampaikan oleh fasilitator daripada kalangan pegawai dan kakitangan Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong.

    Dengan adanya ilmu teori dan praktikal seperti pengenalan huruf, teknik bacaan dan makraj huruf yang telah dikongsikan kepada para peserta, program itu dihasrat dapat memupuk dan meningkatkan kefahaman dalam memahami kalam Allah dengan lebih mendalam.

    Antara yang hadir semasa Program Ihya’ul Quran yang diadakan di Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda