Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Membaca Surah Al-Kahfi erat hubungan jemaah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Program Membaca Surah Al-Kahfi beramai-ramai menjadi satu landasan positif untuk merebut fadilat yang besar di samping platform bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan para jemaah untuk membantu mengimarahkan masjid.

    Ke arah itu, Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar telah mengadakan program seumpamanya di masjid berkenaan, hari ini.

    Hadir pada program tersebut ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pegawai Pemantau Zon 4, Pengiran Haji Hafizuddin bin Pengiran Haji Bakar.

    Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit selaku Setiausaha Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar berkata, “Program berkenaan adalah sebagai usaha bagi melazimkan para jemaah untuk membaca Surah Al-Kahfi bagi mengaut pahala dan mengambil pengajaran dalam kehidupan di dunia dan di akhirat nanti.

    “Program ini merupakan anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar sebagai salah satu aktiviti keagamaan yang berterusan di samping peluang para jemaah untuk manfaatkan fadilat membaca Surah Al-Kahfi,” jelasnya.

    Selain itu, ia juga sebagai salah satu ibadah bagi mengisi waktu mereka beriktikaf di dalam masjid, tambah beliau.

    Pada program itu, bacaan Surah Kahfi telah dipimpin oleh Awang Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin dan Doa Surah Kahfi serta Doa Selamat telah dibacakan oleh Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme.

    Turut hadir ialah Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Leftenan Kol (B) Haji Awang Zaini semasa menghadiri Program Membaca Surah Al-Kahfi di Masjid Kampung Sungai Besar.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda