Oleh Daniel Lim
BELAIT, 29 NOV – Seramai 23 belia dari Daerah Belait berjaya menamatkan Program ‘Menjejaki Kampung Kitani’ selama dua hari yang berakhir hari ini dengan majlis penutup yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan Kampung Sungai Liang.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Kampung Liang, Haji Mohd Ibrahim bin DMS Dian; Ketua Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Daerah Belait, Gaung Jamit dan pegawai dari JBS Daerah Belait.
Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Imam Masjid Sungai Liang, Awang Zulhilmi bin Mohd Jefri diikuti dengan acara penyerahan sijil kepada para peserta yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.
Program anjuran JBS yang berlangsung di sekitar kawasan Kampung Sungai Liang itu diadakan bertujuan bagi memberikan peluang kepada para belia untuk mengambil bahagian dan mempelajari lebih lanjut mengenai sejarah serta pengalaman suasana kampung yang terdapat di Daerah Belait, di samping dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti bermanfaat.
Antara yang mengambil bahagian dalam program tersebut ialah para pelajar dari sekolah kerajaan dan swasta serta institusi di Daerah Belait, terutamanya dari kampus Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).
Semasa program itu juga, para peserta telah diberikan sesi taklimat tentang latar belakang kampung di sekitar Mukim Sungai Liang selain diberi kesempatan untuk merasai sen-diri suasana tinggal di kampung berkenaan.
Para peserta juga berpeluang untuk berinteraksi bersama penduduk kampung bagi mempelajari lebih banyak tentang budaya dan gaya hidup, di samping dapat mencuba menghasilkan kraf tangan bagi Satu Kampung Satu Produk (1K1P).
