Sunday, April 20, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Program Mentoring Daie Bersama Ustazah Asma Harun

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Seramai 200 orang terdiri daripada para pegawai dan daie Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan-jabatan di bawahnya serta pegawai dan daie undangan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) telah menghadiri Multaqa Daie bagi Program Mentoring Daie Bersama Ustazah Asma Harun yang berlangsung di Dewan Persidangan PDI, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Multaqa Daie dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Awang Muskrisman Safari bin Haji Awang Mustapa.

    Di majlis itu, Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dalam ucapan beliau antara lain menyatakan majlis itu akan menjadi platform bermanfaat untuk semua dan dapat meningkatkan lagi kualiti dan kredibiliti khusus para daie Negara Brunei Darussalam.

    Beliau turut menyarankan agar mereka yang terlibat mengambil peluang tersebut untuk berbincang, berkongsi idea dan memperbaharui semangat dalam usaha menegakkan kalimah Allah SWT.

    GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir semasa Program Mentoring Daie Bersama Ustazah Asma Harun. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL

    Dengan kehadiran pada hadirin pada majlis itu, katanya, ia juga membuktikan komitmen para daie dalam kerja-kerja dakwah serta dapat menimba ilmu khusus dalam kepentingan metode-metode dakwah melalui media, agar dapat memantapkan kredibiliti para daie dalam menyampaikan ceramah serta memberikan idea baharu kepada daie di Negara Brunei Darussalam untuk menghadapi cabaran dakwah masa kini.

    Tema program ialah Dakwah dan Media Sosial: Peluang dan Cabaran yang menekankan pentingnya media sosial sebagai platform penyampaian mesej dakwah dalam era digital masa kini.

    Program memfokuskan kepada cabaran dan peluang yang ada dalam menggunakan media sosial sebagai alat penyebaran dakwah.

    Program Mentoring Daie itu juga sebagai platform kepada para daie untuk berinteraksi dengan ulama di samping menimba ilmu dan memperkuat kredibiliti Pegawai PDI dalam menyampaikan ceramah.

    Ianya juga untuk memberi motivasi kepada daie di negara ini untuk menghadapi cabaran dakwah masa kini. Majlis anjuran PDI melalui Bahagian Penyebaran Dakwah itu berlangsung selama dua hari dan berakhir esok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda